Tuesday, October 7, 2008

Eropah bergelut selamatkan bank


SEORANG wanita berjalan melepasi Bank Hypo Real Estate di Berlin baru-baru ini.

--------------------------------------------------------------------

STOCKHOLM - Kerajaan-kerajaan di Eropah semalam bergelut untuk menyelamatkan bank-bank yang gagal sehari selepas para pemimpin di empat benua berkenaan mendesak lebih banyak peraturan ketat dilaksanakan untuk menghadapi krisis kewangan.

Di Berlin, kerajaan Jerman menganjurkan perbincangan berhubung krisis kewangan selepas runtuhnya pelan penyelamat bank hartanah Hypo Real Estate AG.

Bank itu merupakan yang pertama meminta pertolongan kerajaan selepas menghadapi masalah pada pertengahan bulan lalu selepas kredit dibekukan di pasaran antarabangsa.

Pegawai-pegawai kerajaan dan ketua perbankan di Iceland turut mengadakan perbincangan kemungkinan menyediakan pelan penyelamat untuk bank-bank komersial.

Baru-baru ini, kerajaan mengambil alih bank ketiga terbesar Iceland, Glitnir di mana keputusan itu menyebabkan beberapa agensi panarafan menurunkan rating pinjaman empat buah bank utama.

Kerajaan Belgium dan pegawai-pegawai perbankan juga bergelut untuk menyelamatkan operasi Bank Fortis NV di mana operasinya di Belanda dimilik negara kerana bimbang ia mungkin tidak mampu beroperasi.

Pilihan sedia ada adalah tindakan untuk membeli bank itu oleh Belgium atau mencari bank lain untuk mengambil alih operasi.

Ketua Perbendaharaan Britain, Alistair Darling berkata, beliau bersedia untuk mengambil beberapa langkah besar untuk membantu negaranya menghadapi krisis pinjaman kewangan.

Sebelum ini, kerajaan di negara itu pernah bertindak untuk memiliknegarakan Bank Northern Rock dan Bardford & Bingley.

Darling memberitahu Perbadanan Penyiaran British (BBC) bahawa kerajaan menyediakan berbilion-bilion pound sterling bagi membantu sektor perbankan.

Kerajan Perancis kelmarin mencadangkan pelan penyelamat berbilion-bilion dolar tetapi diketepikan selepas kerajaan Jerman menyatakan bank-bank perlu mencari sendiri jalan keluar untuk meneruskan operasi. - AP

http://www.kosmo.com.my/06102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...