Tuesday, October 7, 2008

Pakej menyelamat institusi kewangan lebih dua trilion dolar

NEW DELHI - Selepas satu demi satu institusi kewangan menjadi mangsa krisis kredit global, pakej menyelamat yang diumumkan oleh kerajaan-kerajaan di dunia kini menghampiri jumlah dua trilion dolar (RM6.9 trilion) iaitu dua kali ganda saiz ekonomi India, lapor sebuah akhbar semalam.

Kongres Amerika Syarikat (AS) meluluskan bantuan AS$700 bilion (RM2.4 bilion) untuk institusi-institusi kewangan bermasalah di negara itu manakala kerajaan AS sendiri mengumumkan pakej penyelamatan berjumlah AS$990 bilion (RM3.4 trilion).

Jumlah itu dijangka terus meningkat selepas beberapa negara Eropah mengumumkan pakej serupa dalam usaha menyelamatkan entiti kewangan bermasalah di rantau tersebut.

Terdapat ramalan bahawa lebih banyak bantuan akan disediakan oleh kerajaan di Eropah ketika krisis kewangan semakin merebak dengan pantas di benua berkenaan.

Bagaimanapun, kesan krisis kewangan itu tidak akan dirasai oleh India.

Dari AS sehingga ke Eropah, kegawatan kewangan itu menyebabkan beberapa nama besar dalam institusi perbankan pelaburan tumbang seperti Bank Lehman Brothers.

Bank Merril Lynch turut dibeli oleh bank of America manakala gergasi insurans, American International Group Inc., (AIG) diselamatkan oleh kerajaan AS.

Sementara itu, AS menduduki tempat pertama dengan pakej menyelamat AS$990 bilion setakat ini, diikuti oleh kerajaan Ireland yang meletakkan AS$572 bilion (RM1.9 trilion) sebagai jaminan untuk liabiliti bank di negara berkenaan. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/06102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...