Tuesday, October 7, 2008

Gara-gara Cat sambut salam


Oleh KHAIRI MOHAMAD
mohdkhairi.mohamad@kosmo.com.my


INILAH bakal suami Cat, Shaharuddin Mokhtaruddin.

--------------------------------------------------------------------

PERKENALAN singkat pertama kali di sebuah studio di Bangsar, Kuala Lumpur ketika masing-masing mempunyai tugasan di sana akhirnya mempertemukan cinta antara mereka. Dan Sabtu lalu, ikatan suci itu dikukuhkan dengan tanda janji dengan majlis pertunangan yang meriah.

Bermula dengan pertembungan mata secara tidak sengaja, Shaharuddin Mokhtaruddin, 29, yang mengenali gadis di hadapannya seorang dramatis terkenal tanah air kemudian memberanikan diri menghulurkan salam perkenalan.

Salam bersahut, kata bersambut, pelakon Catriona Norhayati Ross Bahrin Ross, 28, atau lebih dikenali sebagai Catriona Ross atau Cat, bagaimanapun menganggap itu tidak lebih sebagai perkenalan biasa.

Menceritakan kembali detik perkenalan kedua-duanya, penerbit dan pengarah saluran Astro itu berkata, ketika pertemuan itu Cat masih bertongkat dan baru pulih daripada kecederaan yang dialaminya akibat kemalangan jalan raya tahun lalu.

"Saya kenal dia (Cat) walau pun ketika itu dia tidak bersolek, dan selepas turun ke lobi studio berkenaan saya terfikir kenapa tak sapa semula bagi bertanya khabar?

"Tak sangka Cat menyambut salam saya, dia peramah lalu kami bertukar-tukar nombor telefon dan sekiranya saya tak naik semula ke studio tersebut tak mungkin berlangsungnya majlis (pertunangan) yang meriah hari ini.

"Selepas berkenalan, saya dan Cat mempunyai keserasian kerana masing-masing boleh berkomunikasi dengan baik dan saya tertarik dengan semangat juangnya yang tinggi untuk meneruskan hidup seperti biasa selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya tahun lepas," katanya mengerling ke arah Cat.

Catriona yang tersenyum kelihatan anggun mengenakan kebaya moden hijau muda dengan kain jenis fabrik sari sifon yang dihadiahkan oleh kenalan lamanya, Ruby yang juga pemilik Ruby Fashion House yang terletak di Kota Bharu.

Malah, untuk majlis itu, Ruby menyiapkan sendiri rekaan kebaya tersebut untuk dipakai oleh Cat yang telah lama menggunakan khidmat pereka fesyen yang tersohor di Kelantan itu.

Tiada perasaan pada awalnya

Sementara itu, Cat pula berkata, dia tertarik dengan ciri-ciri yang dimiliki Shaharuddin antaranya sentiasa memberi kata-kata semangat untuk terus bangun daripada trauma akibat kemalangan tersebut.

"Saya tak ada rasa apa-apa pun masa mula-mula kenal dengan Shaharuddin, yang bezanya dia kerap hubungi saya selepas pertemuan kali pertama itu.

"Percaya atau tidak, sepanjang tempoh lima bulan pertama perkenalan itu kami hanya berhubungan melalui telefon sahaja atau istilahnya perkenalanan jarak jauh.

"Ketika itu saya di Kota Bharu kerana menjalani rawatan susulan di sana sedangkan Shaharuddin di Kuala Lumpur. Secara jujur, selain kata-kata semangat daripada ibu, Siti Zawiyah Abd. Rahman, 50, serta anggota keluarga lain, Shaharuddin turut memberi kata perangsang serupa.

"Alhamdulilah, berkat doa semua yang ingin lihat saya kembali seperti biasa memberi kekuatan kepada saya untuk bangkit semula walau pun pada mulanya agak sukar," ujar Cat.


TERMETERAI SUDAH. Bersama bakal ibu mentuanya yang menyarung cincin pertunangan ke jari manis Cat.

--------------------------------------------------------------------

Jelas Shaharuddin pula, mulanya Cat tidak banyak bercerita mengenai kemalangan jalan raya yang dialaminya pada 14 April 2007 itu seolah-olah ingin melupakan tragedi hitam itu.

Sesuatu yang melucukan menurutnya, dalam temujanji pertama dengan dramatis itu, Shaharuddin membawa DVD lakonan Cat dalam satu program di Astro dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu semata-mata ingin berjumpa dengannya.

"Sebenarnya saya boleh hantar dengan kurier ke sana, tetapi alasan ingin berjumpa Cat menyebabkan saya sanggu memandu lapan jam ke Kota Bharu.

"Yang pasti Cat kini telah bangkit, dan itu yang benar-benar kagumkan saya kerana sukar untuk temui insan yang berjiwa kental seperti dia," jelasnya lagi.

Pada majlis pertunangan yang diadakan di rumah keluarga Cat di Jalan Guchil, Kampung Teluk Baru dekat Kota Bharu itu, Cat menerima sembilan dulang hantaran daripada pihak lelaki yang berasal dari Wangsa Maju, Kuala Lumpur dan dibalas tujuh.

Pihak lelaki memilih tema biru putih untuk barangan hantaran antaranya sirih junjung, sepasang persalinan, kasut, barangan kecantikan MAC, coklat, kek dan sebentuk cincin berlian.

Manakala pihak perempuan membalas dulang berhias bunga coklat keemasan berupa sirih junjung, wangian, buah-buahan, manisan, songket, kasut, kek, coklat dan sebentuk cincin.

Majlis dimulakan dengan perbincangan kedua-dua belah pihak dan upacara menyarung cincin yang disempurnakan oleh bakal ibu mentua Cat, Azizam Ahmad, 51, di atas pelamin rekaan rakan baiknya, Chi Chi.

Sementara ayah Cat, Bahrin Ross Abdullah, 56, menyarung cincin ke jari Shaharuddin, yang merupakan anak seorang kenamaan yang juga cucu kepada seorang bergelar Tan Sri sambil disaksikan oleh kaum keluarga terdekat dan sahabat handai.

Kahwin Jun 2009

Menurut Cat lagi, majlis yang berlangsung sebelah petang pada Aidilfitri keempat itu berlangsung agak meriah memandangkan kedua-duanya merupakan anak sulung dalam keluarga masing-masing.

"Majlis ini sengaja dibuat meriah kerana kami anak sulung dalam keluarga dan selain majlis pertunangan ia juga meraikan saudara mara dan teman rapat sempena hari raya," katanya ketika ditemui selepas majlis berakhir.

Menurutnya lagi, hasil perbincangan, kedua-dua belah pihak bersetuju mengikat tali pertunangan selama lapan bulan dan dijangka melangsungkan perkahwinan Jun tahun depan.

Bagaimanapun ketika ditanya jumlah wang hantaran, Cat pantas memberitahu tidak meletak sebarang harga kerana baginya itu adalah hadiah ikhlas daripada pihak bakal suami.

"Soal itu, saya serah semuanya kepada Shaharuddin tetapi apa yang difahamkan perkara itu akan diputuskan kelak pada pertemuan antara keluarga menjelang hari pernikahan nanti," jelasnya sambil mengutumkan senyuman.


--------------------------------------------------------------------

Cat yang ketika ini sedang menghabiskan pengambaran drama Bonda memberitahu, masih belum merancang mengenai persiapan hari pernikahan dan persandingannya kelak.

"Selepas Bonda, ada satu lagi penggambaran menanti iaitu untuk drama Bara, jadi buat masa sekarang ini jadual lakonan agak padat, lagipun tempoh pertunangan ini pun masih panjang.

"Sudah semestinya saya inginkan majlis yang meriah kerana ia satu hari yang cukup besar ertinya kepada kami berdua, keluarga, sahabat handai dan buat saya pula, ia juga hadiah kepada para peminat yang banyak memberi sokongan selama ini.

"Selepas bergelar isteri nanti saya masih berhasrat meneruskan karier dan tidak akan membataskan sebarang tawaran, apatah lagi Shaharuddin pun memberi keizinan dan faham cinta yang mendalam dalam bidang ini.

"Namun begitu, saya akan menjadualkan semula karier lakonan dengan memberi keutamaan kepada keluarga agar kehidupan sebagai suami isteri lebih teratur kerana telah ada tanggungjawab yang lebih besar," tuturnya mengakhiri bicara.

http://www.kosmo.com.my/06102008

2 comments:

Unknown said...

suke n minat ngn cat..ade style g 2

Zubair said...

terima kasih ApHiD kerana sudi singgah ke Blog saya. Saya juga suka dengan sikap lemah lembut cat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...