Tuesday, October 7, 2008

Artikel berkaitan Altantuya ditulis Raja Petra

KUALA LUMPUR - Perbicaraan penulis blog Raja Petra Raja Kamarudin (gambar) yang dituduh menerbitkan artikel memfitnah dalam blognya bermula semalam di Mahkamah Sesyen di sini dengan seorang pakar dipanggil untuk memberikan keterangan.

Harme Mohamed yang merupakan Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Antarabangsa dan Pengarah Jabatan Keselamatan, Amanah dan Pentadbiran, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MMC), merupakan saksi pertama.

Harme, 39, dalam keterangannya memberitahu mahkamah bahawa Raja Petra telah memuatkan artikel bertajuk Let's Send the Altantuya Murderers to Hell yang diterbitkan dalam www.malaysia-today.net pada 25 April.

Saksi itu berkata, beliau membuat rumusan itu berdasarkan Laporan Pemeriksaan Oleh Unit Siasatan Forensik Komputer MMC yang jelas menunjukkan nama Raja Petra ditulis dalam artikel itu sebagai penulis dan nama domain ialah malaysia-today.net.

"Berdasarkan dokumen (laporan itu) yang tertera di barisan kedua di atas dokumen itu, nama domain yang dinyatakan ialah malaysia-today.net," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Roslan Mat Nor.

Kepada soalan Roslan sama ada beliau tahu siapa pentadbir nama domain laman web itu, Harme berkata: "Dari dokumen itu, saya tidak tahu."

Raja Petra, 58, dituduh melakukan kesalahan itu di rumahnya di No. 5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 itu membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

http://www.kosmo.com.my/07102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...