Tuesday, October 7, 2008

Harga minyak terendah AS$88.89 sejak Februari

LONDON – Harga minyak mentah jatuh bawah AS$90 (RM313.88) setong semalam iaitu yang terendah dalam tempoh lapan bulan berikutan tekanan akibat ramalan bahawa krisis kredit global akan menyebabkan kejatuhan mendadak dalam permintaan.

Minyak mentah light Amerika Syarikat (AS) bagi penghantaran November jatuh sebanyak AS$4 (RM13.94) setong kepada AS$89.88 (RM313.47) pada pukul 9 malam waktu Malaysia semalam.

Ia kemudian menurun kepada AS$88.89 (RM310) setong iaitu yang terendah sejak Februari lalu.

Harga minyak menurun hampir 40 peratus selepas meningkat kepada AS$147.27 (RM513.59) pada 11 Julai lalu.

Minyak mentah Brent London turut menurun AS$3.54 (RM12.34) kepada AS$86.74 (RM302.49) setong.

Permintaan minyak di AS iaitu pengguna tenaga utama di dunia, mengalami kejatuhan pada tahun ini manakala penggunaan di Jepun serta Eropah juga lemah.

Seorang penganalisis tenaga dengan firma Purvin & Gertz di Singapura, Victor Shum berkata, permintaan minyak di negara-negara maju sudah perlahan sejak Mei lalu iaitu sebelum kegawatan kewangan melanda AS pada bulan lalu.

“Ini meningkatkan sentimen bahawa kita akan melihat ekonomi perlahan atau kemelesetan dan ia tidak baik untuk permintaan minyak,” katanya.

Presiden Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), Chakib Khelil berkata, OPEC akan membuat keputusan untuk berusaha mengimbangi bekalan minyak pada Disember ini.

Menurutnya, permintaan minyak sudah jatuh tiga juta tong sehari berikutan kekurangan keperluan di negara-negara utama pengguna manakala bekalan masih lagi stabil.

Berdasarkan kajian agensi berita Reuters, bekalan minyak OPEC jatuh untuk bulan lalu iaitu penurunan buat pertama kali sejak April lepas. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/07102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...