Tuesday, October 7, 2008

Punca mereka 'tersangkut' - Ejen hantu guna agensi pekerja asing yang gulung tikar untuk beroperasi

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.abdulmajid@kosmo.com.my



SEBAHAGIAN warga Bangladesh yang terus 'tersadai' di bawah jejambat berhampiran LRT Damai Kuala Lumpur semalam.

--------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Agensi atau ejen yang didakwa mengambil kesempatan membawa pekerja asing dari luar menjadi punca kenapa semakin ramai warga Bangladesh tertipu dan akhirnya 'terdampar' di negara ini.

Menurut sumber, modus operandi kebanyakan 'ejen hantu' itu ialah menggunakan agensi pekerja asing yang sudah gulung tikar bagi mengelakkan identiti sebenar mereka diketahui.

Dengan taktik itu, mereka dikatakan bekerjasama dengan ejen di negara luar mengaut keuntungan atas angin tanpa menghiraukan nasib pekerja luar.

Kalau ada pun syarikat yang mengambil mereka bekerja ia tidak lama kerana syarikat berkenaan akan mengeluarkan surat pembebasan kepada warga asing itu mencari pekerjaan lain di negara ini.

Ia seterusnya menjadi punca kenapa semakin ramai warga Bangladesh yang 'terdampar' di sini termasuk di stesen transit aliran ringan (LRT) Damai di sini sejak sembilan bulan lalu.

Menurut sumber itu lagi, keadaan di stesen itu dijangka semakin sesak dengan kehadiran lebih ramai 'muka baru' selepas cuti Aidilfitri ini kerana kononnya ada permintaan daripada sebuah agensi di negara ini.

Tembelang itu pecah apabila sumber Kosmo! yang juga seorang majikan mendakwa dia sendiri yang menggaji pekerja warga asing pernah didatangi oleh seorang warga Bangladesh bernama Ali (bukan nama sebenar) untuk memohon kerja baru-baru ini.

"Dia (Ali) menunjukkan satu surat daripada syarikat di mana dia bekerja awalnya yang mengesahkan dia diberi kelulusan oleh syarikatnya untuk berkerja di mana-mana tempat.

"Dia juga kata majikannya sudah ambil 300 orang pekerja Bangladesh dan kemudiannya melepaskan mereka dengan memberi surat pembebasan," katanya semalam.

Katanya, Ali mendakwa lebihan warga Bangladesh yang dibawa oleh agensi berkenaan yang terletak di Semenyih dekat sini 'bersepah' dan ada yang telah menjadi pengemis.

"Pekerja yang sama memaklumkan pada saya bahawa terdapat 120 pekerja Bangladesh lagi akan datang ke Malaysia selepas hari raya ini dan 120 orang lagi telah dapat visa dengan rujukan Jabatan Imigresen Malaysia," katanya.

Bagi memastikan kesahihannya, wartawan Kosmo! meninjau sendiri lokasi pejabat ejen tersebut dan mendapati ia merupakan sebuah kilang yang sebahagiannya sudah roboh.

Sementara itu, tinjauan di LRT Damai mendapati semakin ramai 'muka baru' warga Bangladesh menjadi penghuni di LRT Damai dan dianggarkan ia kini telah mencecah 200 orang.

Sebelum ini akhbar ini melaporkan mengenai limpahan warga Bangladesh yang berkampung di situ setelah pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh penuh gara-gara warganya lari kerana tidak puas hati dengan layanan majikan.

http://www.kosmo.com.my/07102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...