Tuesday, October 7, 2008

Risiko runtuhan batu


Penduduk di Istabl Antar terperangkap dalam kemiskinan sekali gus menyebabkan mereka berhadapan bahaya fizikal ditimpa tanah atau runtuhan batu.


JENIS batu yang terdapat di kawasan kediaman penduduk di Duwaiqa, Kaherah, Mesir ini mudah dihakis oleh air sekali gus membentuk gua batu kapur yang mudah runtuh.

--------------------------------------------------------------------------------

DALAM menghadapi kehidupan sehariannya, Manal Mohamed sentiasa peka dengan tanda-tanda tanah yang mungkin bergerak. Beliau bimbang kejadian batu menghempap sebuah rumah di daerah Duwaiqa, Kaherah pada bulan lalu berulang kembali.

"Saya mahu tinggalkan kawasan ini, tetapi saya tidak berjaya mendapatkan sebuah rumah di mana-mana pun," katanya sambil berdiri di atas runtuhan batu di Istabl Antar, tidak jauh dari Duwaiqa di mana batu besar terjatuh dari bukit lalu menghempap berpuluh-puluh buah rumah sehingga membunuh lebih 100 orang pada 6 September lalu.

Penduduk memberitahu antara 100 hingga 600 mayat masih berada di bawah serpihan batu di dasar tebing curam.

Istabl Antar merupakan sebahagian kawasan paling melarat di Muqattam Hills di selatan dan timur pinggir Kaherah. Ia sebuah bandar yang dihuni sekitar 16 juta penduduk di mana perkembangan ekonomi yang luas telah melebarkan jurang antara golongan kaya dan miskin.

Sesetengah daerah mempunyai lebih kurang 100,000 populasi dalam setiap kawasan 41,000 kilometer persegi dan penduduk mengatakan mereka telah menderita sejak beberapa dekad yang lalu kerana diabaikan kerajaan.

Kawasan kejiranan yang tidak tersusun ini tersekat disebabkan cabaran sosial yang dihadapi oleh kerajaan dalam negara Arab yang paling ramai penduduk itu meskipun sewaktu ekonomi semakin berkembang.

Populasi di Mesir telah mencecah 76 juta sekali gus menyaksikan perkembangan yang begitu pantas berbanding ekonomi yang boleh menampung jumlah tersebut. Kos sara hidup bertambah tinggi dengan harga urban mencecah 23.6 peratus sehingga Ogos lalu.

Disebabkan itu, kerajaan di bawah pimpinan Presiden Hosni Mubarak berhadapan tindakan dipecat kerana gagal merapatkan jurang yang besar di antara golongan kaya dan miskin.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata, jumlah penduduk yang hidup dalam kemiskinan tahap melampau telah meningkat walaupun taraf ekonomi berkembang sekitar 7 peratus setahun sejak dua tahun lalu.

Penduduk di Istabl Antar merupakan antara yang terbelenggu dalam kemiskinan sekali gus menyebabkan mereka berhadapan bahaya fizikal ditimpa tanah atau runtuhan batu.

Risiko berulangnya runtuhan batu tetap ada. Namun, kebanyakan mereka tidak mempunyai wang untuk berpindah ke tempat lain.

Sistem paip kediaman mereka amat daif yang dibuat di retakan dinding bangunan, menyebabkan kebocoran air ke tebing curam. Perkara ini menjadikan batu-batu itu mungkin akan retak dan runtuh.

"Kebimbangan saya adalah terhadap orang-orang di bawah sana. Mala petaka atau bencana pasti akan berlaku jika ia jatuh menimpa mereka di sini," kata salah seorang rakan Manal sambil menunjuk ke arah puluhan rumah yang dibina pada jarak 20 meter di kaki tebing curam.

Runtuhan batu yang berlaku pada awal bulan lalu bukanlah yang pertama di sini. Hampir 15 tahun lalu, dianggarkan lebih 3,000 tan batu jatuh menimpa puluhan rumah dan membenam sekurang-kurangnya 50 orang penduduk di Manshiyet Nasser yang juga terletak di daerah Duwaiqa.


KEMISKINAN menyebabkan penduduk terus tinggal di rumah yang terdedah kepada risiko runtuhan batu.

--------------------------------------------------------------------------------

Jenis batu yang terdapat di kawasan ini mudah dihakis oleh air sekali gus membentuk gua batu kapur, menurut Goelogical Survey of Egypt.

Meskipun persekitarannya tidak selamat, namun kawasan tersebut telah pun dihuni oleh ramai keluarga dari generasi ke generasi.

"Ayah saya telah menetap di sini sejak 30 tahun lalu. Jadi, tiada tempat lain yang boleh kami tinggal selain di sini. Tambahan pula, kekangan kewangan menyebabkan kami akur dengan apa yang berlaku," jelas Manal lagi.

Sementara itu, mangsa bencana di Duwaiqa menerima bantuan daripada kerajaan apabila mereka bersedia untuk menempatkan mangsa yang terselamat di sebuah pangsapuri baru yang terletak tidak jauh dari kawasan tersebut.

Pihak berkuasa juga telah memulakan proses pemindahan 80 buah keluarga dari lokasi berbahaya di Istabl Antar. - Reuters

http://www.kosmo.com.my/07102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...