Tuesday, October 7, 2008

Lanun enggan serah senjata


GAMBAR yang dirakam pada 30 September lalu menunjukkan seorang pegawai Tentera Laut Amerika Syarikat memantau kapal kargo Ukraine yang ditawan lanun di luar perairan Somalia.

--------------------------------------------------------------------

MOGADISHU - Sekumpulan pejuang Islam menuntut diberikan sebahagian senjata yang berada dalam sebuah kapal kargo Ukraine tetapi lanun-lanun enggan menyerahkannya, kata seorang pegawai tempatan semalam.

Pejuang-pejuang daripada kumpulan Al-Shabaab yang menentang kerajaan sementara Somalia turut menerima lima peratus daripada AS$1.5 juta (AS$5.2 juta) yang dibayar untuk pembebasan sebuah kapal Sepanyol beberapa bulan lalu.

Kira-kira dua minggu lalu, lanun-lanun bersenjata menawan kapal kargo MV Faina dekat bandar Hobyo di tengah Somalia dan menuntut wang sebanyak AS$20 juta (RM69.63 juta).

Beberapa kapal perang Amerika Syarikat (AS) kini memantau kapal kargo itu yang turut membawa 33 kereta kebal bagi memastikan tidak ada sebarang senjata dipindahkan.

"Al-Shabaab mahu sebahagian daripada senjata berada dalam kapal itu tetapi lanun-lanun menolak tuntutan tersebut," kata seorang pegawai.

"Kumpulan berkenaan beredar selepas permintaan itu ditolak oleh lanun-lanun dan penduduk. Saya pasti anggota-anggota kumpulan itu berada tidak jauh daripada kawasan ini," katanya.

Lanun-lanun Somalia sudah merampas lebih 30 buah kapal di luar perairan negara mereka setakat ini dan menerima antara AS$18 juta (RM62.67 juta) hingga AS$30 juta (RM104.45 juta) dalam bentuk wang tebusan.

Penduduk-penduduk mengesahkan kebimbangan sebelum ini bahawa bayaran yang diperoleh lanun itu diserahkan kepada pergerakan Islam dan membiayai pemberontakan menentang kerajaan Somalia pimpinan Presiden Abdullahi Yusuf.

Seorang penduduk dan seorang saudara seorang lanun yang menawan kapal kargo Ukraine menyatakan anggota-anggota Al-Shaabab menerima lima peratus bahagian wang tebusan tetapi mereka kemudian meminta jumlah lebih banyak.

- Reuters

http://www.kosmo.com.my/06102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...