Monday, November 24, 2008

26 tahun atas buaian


Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my



ANAKKU...Dom di samping Ina di rumah mereka di Kampung
Sungai Dedap, Yan, semalam.


YAN: “Selepas 26 tahun menghabiskan hidup dalam buaian, anak saya sudah tidak boleh duduk atau berdiri kerana kakinya semakin keras menyebabkan dia terpaksa dijaga siang dan malam seperti bayi.”

Begitulah rintihan seorang ibu, Dom Ahmad, 68, dari Kampung Sungai Dedap, dekat sini, yang pilu dengan nasib anak gadisnya, Azlina Osman, 26.

Azlina atau nama manjanya Ina yang terencat akal sepanjang hidupnya berada dalam buaian dan hanya mampu menangis apabila lapar.

Dom berkata, anak bongsu daripada enam beradik itu dilahirkan normal, tetapi mengidap sawan beberapa hari kemudian sehingga badannya kejang dan tidak dapat bergerak.


Katanya, Azlina terpaksa menghabiskan masa dalam buaian dan perlu ditukar tali serta kain selimut setiap kali usianya meningkat.


“Kami pernah menggunakan dawai besi untuk dijadikan pengikat buaian, tetapi putus kerana Ina meronta-ronta serta menghayunkan dengan laju buaian jika keinginannya tidak dipenuhi atau marah.

“Sekarang, kami menggunakan tali belati untuk mengikat buaian kerana lebih kukuh dan kain selimut perlu ditukar dari semasa ke semasa,” katanya, semalam.

Walaupun Dom sukar berjalan kerana sakit kedua-dua lututnya, namun demi Azlina, dia meneruskan tugas menjaga anaknya itu termasuk menyediakan makan minum serta memandikannya setiap hari menggunakan bangku beroda.

Beliau berkata, Azlina akan menangis kuat jika tiada orang di rumah.

“Dengan anak lain tinggal berasingan, saya tidak mahu Ina takut seorang diri di rumah. Setiap malam, saya perlu menghayunkan buaian untuk menidurkannya menyebabkannya kerap terjaga dan tidak cukup tidur,” katanya.

Bapanya, Osman Awang, 70, berkata dia yang tidak mengerjakan sawah hampir setahun lalu mengupah orang lain kerana uzur.

Namun, beliau dan isterinya bersyukur kerana semua anak mereka banyak membantu termasuk memberi wang walaupun masing-masing mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga.

“Sebelum ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pernah datang ke rumah mengambil maklumat mengenai Ina, tetapi sehingga kini kami tidak menerima sebarang bantuan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20081124094321/Article/index_html



***Adakah mereka ini tergolong kepada golongan yang TIDAK LAYAK untuk mendapat bantuan dari JKM??? Jika mereka LAYAK...mengapa hingga kini mereka TIDAK MENERIMA sebarang bantuan dari JKM???***

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...