Monday, November 24, 2008

‘Ketepi soal diri’

Oleh Hadzlan Hassan dan Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my



SERIUS...Aziz berbincang dengan Amli (kanan) bersama
dua anak gadisnya di mahkamah, semalam.


KUALA TERENGGANU: Pengarah dan pelakon terkenal, Aziz M Othman, 46, berkata tumpuannya kini lebih terarah kepada anak-anak dan mahu mengenepikan soal diri sendiri selain berharap kemelut rumah tangganya diputuskan mahkamah.

“Tumpuan saya kini lebih terarah kepada anak-anak, soal diri sendiri saya ketepikan dahulu dan biarkan segala kekusutan ini diselesaikan satu demi satu oleh mahkamah.

“Sebentar tadi, hakim sendiri meminta tiada pihak membuat sebarang spekulasi, jadi kita tunggulah apa keputusan mereka kerana lebih arif,”
katanya ketika ditemui selepas prosiding permohonan pengesahan perkahwinannya dengan ustazah, Nor Radhiah Ramli, 22, di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam.

Bagaimanapun, Aziz yang ditemani dua anak perempuannya, Puteri Nurul Fatihah, 20, dan Puteri Nur Asyiqin, 15, enggan mengulas ketika ditanya sama ada masih mempunyai perasaan terhadap isteri barunya itu yang tidak hadir di mahkamah dengan alasan tidak menerima sebarang maklumat.


Terdahulu, ketika prosiding, Hakim Kamalruazmi Ismail memutuskan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Syariah yang mempunyai bidang kuasa lebih luas untuk memutuskan permohonan itu.

Ketika kesnya disebut, Aziz kelihatan tenang sambil sesekali menoleh ke arah galeri awam wanita sebelum keluar sebaik prosiding berakhir.

Bagaimanapun, ketika ditemu bual, kedua-dua anak gadis Aziz yang menemani bapa mereka hanya mendiamkan diri dan kelihatan terkejut menyebabkan Aziz menjelaskan keadaan itu tiada kaitan dengan kes berkenaan, sebaliknya disebabkan kenderaan dinaiki berpusing tiga kali ketika tiba di Cherating, Pahang akibat keadaan jalan licin.

“Bagaimanapun, kami bersyukur kerana tiada apa yang berlaku, cuma Puteri Nur Asyiqin menangis kerana masih trauma,” katanya.

Ketika prosiding semalam, Nor Radhiah yang meminta pengesahan status perkahwinan mereka tidak hadir kerana tidak menerima maklumat mengenainya, namun Aziz memberitahu dia sudah memaklumkan perkara itu ketika menghubungi wanita berkenaan pada malam sebelum itu.

“Saya sudah menghubungi dia malam tadi (semalam) untuk memaklumkan perkara ini tetapi dia memberitahu tidak menerima surat atau makluman mengenainya,” katanya,

Sementara itu, peguam yang mewakili Aziz, Amli Embong, berkata ketidakhadiran Nor Radhiah mungkin kerana salah faham antara wanita itu dengan mahkamah.

“Anak guam saya mengetahui kes ini selepas Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu menyampaikan surat kepada Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya dan sepatutnya sebagai pemohon, wanita itu pastinya lebih mengetahui mengenai kes ini tetapi mungkin berlaku sedikit kekeliruan menyebabkannya tidak dapat hadir,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20081124093000/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...