Monday, November 24, 2008

Jaga akidah lebih utama


Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my




KUALA LUMPUR: Walaupun pendapatan pengusaha dan tenaga pengajar senaman yoga akan terjejas berikutan pengharaman senaman itu oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, namun ia perlu diteruskan untuk melindungi akidah umat Islam keseluruhannya.

Setiausaha Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz, berkata pihaknya tidak akan menarik balik pengharaman itu hanya untuk memuaskan hati pihak tertentu.

“Takkanlah disebabkan segelintir pihak (pengusaha dan tenaga pengajar yoga) berkepentingan melindungi cara mereka ‘cari makan’ maka terpaksa mengorbankan akidah umat Islam.

“Kepentingan umat Islam keseluruhannya lebih dibimbangkan berbanding perniagaan,”
katanya semalam ketika diminta mengulas maklum balas diterima Harian Metro daripada pengusaha selepas laporan pengharaman senaman yoga disiarkan.


Menjawab soalan, ada pengusaha mendakwa pengharaman itu hanya dibuat berdasarkan bacaan buku dan Internet tanpa melihat sendiri di pusat yang menjalankan pengajaran yoga itu, Wan Mohamad berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah melakukan penyelidikan ilmiah.


Beliau yang juga Ketua Pengarah Jakim berkata, pihaknya melakukan penyelidikan itu dari banyak sumber dan dengan pelbagai kaedah termasuk menghantar anggota ke pusat pengajaran yoga.

Katanya, pihak pengusaha tidak sepatutnya mempertikaikan kaedah yang diambil sebelum keputusan ini dibuat kerana semua aspek sudah diambil kira termasuk melakukan penyamaran.

“Majlis Fatwa Kebangsaan sudah menjangka akan berlaku tindak balas daripada pengusaha yang tidak berpuas hati sebaik saja yoga difatwakan haram.

“Kami tidak melakukan secara membuta tuli, malah membabitkan penyelidikan ilmiah selama tiga bulan,”
katanya.

Akhbar semalam melaporkan, Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan umat Islam mengamalkan senaman yoga yang dilakukan secara sistematik dan menyeluruh kerana bertentangan dengan syariat Islam serta boleh memesongkan akidah mereka.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20081124092441/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...