Monday, November 24, 2008

Joli 63 kad kredit palsu

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Syarifah Dayana Syed Bakri
anbia@hmetro.com.my



KUALA LUMPUR: Hanya kerana mahu melancong dan hidup mewah, seorang rakyat Malaysia yang juga pesara polis diberkas polis New Zealand selepas didapati berjoli dengan menggunakan berpuluh kad kredit palsu di negara berkenaan.

Suspek yang dikenali sebagai Sulaiman, 50, diberkas polis negara berkenaan bersama isterinya berusia 49 tahun selepas menggunakan 63 kad kredit Master Card dan Visa palsu membabitkan jumlah penipuan NZ$66,766 (RM123,517)

Akhbar internet, Stuff.co.NZ melaporkan, pasangan itu dikesan menggunakan kad kredit yang diklon selain maklumat palsu di dalamnya.

Difahamkan suspek pada mulanya mendakwa ditawarkan pakej percutian murah ke destinasi pelancongan di Australia dan New Zealand pada Ogos lalu.


Susulan itu, suspek berangkat ke Melbourne, Australia dan kemudian ke Auckland, New Zealand empat hari kemudian.

Ketika berada di Auckland, New Zealand, suspek mendakwa dijemput seorang lelaki bernama Kevin yang membawa mereka ke hotel.

Sehari kemudian, Kevin dan seorang lagi lelaki memberitahu pasangan itu bahawa mereka akan diberi kad kredit dan diminta membeli beberapa barang untuk dua suspek terbabit.

Pasangan itu turut dijanjikan bakal mendapat pulangan lumayan melalui setiap pembelian dilakukan menggunakan kad kredit terbabit sepanjang mereka bercuti di negara berkenaan.

Difahamkan lelaki bernama Kevin itu memberikan pasangan terbabit kad kredit klon itu dan mengekori pasangan berkenaan membeli-belah untuk melihat cara mereka menggunakan kad kredit palsu itu.

Selepas selesai menggunakan kad kredit palsu,, mereka akan memulangkan kad dan barangan yang dibeli kepada Kevin.

Berdasarkan maklumat, pasangan berkenaan yang tinggal di hotel mewah di sekitar Auckland, New Zealand, membeli empat komputer riba dan beberapa barangan lagi termasuk pakaian dengan kad terbabit.

Pada 29 Ogos, pasangan itu bertemu pula dengan dua rakan Kevin dikenali sebagai Wayne dan Wong sebelum diberi sekurang-kurangnya tiga lagi kad kredit palsu.

Pasangan itu kemudian dibawa ke Queenstown sebelum cuba membeli beg tangan dan dompet berjenama bernilai $8,035 (RM16,000) namun transaksi tidak dibenarkan.

Berikutan itu pasangan itu menggunakan kad kredit palsu berbeza sebelum berjaya membeli barangan dan terbang semula ke Auckland.

Pasangan itu seolah-olah kemaruk membuat lebih banyak pembelian membabitkan barang kemas, pakaian dan makanan.

Pada 10 September lalu, Kevin memberikan pasangan itu lebih banyak kad kredit sebelum pasangan itu berlepas ke Lapangan Terbang Christchurch, New Zealand dan akhirnya mereka ditangkap polis.

Ketika diberkas, pasangan terbabit didapati menyimpan dan memiliki 20 kad kredit klon Mastercard dan Visa.

Pasangan berkenaan yang dibawa ke mahkamah kemudian mengaku bersalah di hadapan Hakim Tony Couch di Christchurch dan direman sementara menunggu keputusan pada 19 Disember depan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20081124091011/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...