Wednesday, December 17, 2008

20,000 nelayan hentikan boikot


Dec 17, 08 6:38pm

Kumpulan 24 persatuan nelayan memberhentikan tindakan mogok ke laut, yang dilancarkan 12 Disember, selepas bertemu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Chuan hari ini.

Keputusan jawatankuasa bertindak yang mewakili 20,000 nelayan di tujuh negeri dicapai petang ini selepas pertemuan dengan bekas setiausaha agung MCA itu di Hutan Melintang, Teluk Intan pagi ini.

Ong berjanji akan memperjuangkan tuntutan mereka - antaranya menurunkan harga minyak bersubsidi kepada RM1 seliter daripada RM1.30 yang berkuatkuasa semalam - dalam mesyuarat jemaah menteri, Jumaat ini.

Jurucakap kumpulan nelayan itu Lu Shun Fok berkata mereka bagaimanapun akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan yang lebih serius sekiranya kabinet gagal menunaikan tuntutan mereka.

Tindakan terbaru nanti akan diputuskan dalam tempoh dua minggu lagi, tambahnya.

Persatuan-persatuan nelayan itu semalam berikrar meneruskan mogok walaupun kerajaan menurunkan harga minyak 13 sen daripada RM1.43.

Kelmarin, kerajaan tidak bersedia menurunkan harga petrol dan diesel bersubsidi seperti tuntutan nelayan.

"Nak puaskan hati semua pihak memang mustahil," kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed.

Beliau menambah, selain meningkatkan kuota diesel sebanyak 4,000 liter sebulan sejak awal Disember, kerajaan turut menawarkan insentif pendaratan sebanyak 10 sen bagi setiap kilogram tangkapan bagi pemilik-pemilik kapal tunda serta elaun sara hidup sebanyak RM200 sebulan bagi anak-anak kapal.

Persatuan-persatuan nelayan itu turut menggesa insentif-insentif itu dihapuskan dan digantikan dengan peruntukan subsidi minyak dengan alasan ia bersifat "birokratik" dan sehingga kini elaun tersebut belum diserahkan kepada mereka.

http://www1.malaysiakini.com/news/95035

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...