Wednesday, December 17, 2008

Masih mencari identiti diri

Pengkid, lesbian dan yang seangkatannya memang jelas haram di sisi Islam. Namun, mengapa ia masih berlaku walaupun pihak-pihak yang berkaitan telah mengambil langkah sewajarnya untuk mencegah?


GEJALA pengkid yang semakin menular dalam kalangan remaja boleh menjejaskan keamanan dan kesejahteraan negara. – Gambar hiasan
--------------------------------------------------------------------------------


ISU pengkid, lesbian, gay, pondan dan sebagainya sudah lama membelenggu masyarakat bukan sahaja di Malaysia tetapi banyak lagi negara di seluruh dunia.

Walaupun ada sesetengah pihak berpendapat ia bukanlah satu isu yang besar, tetapi hakikatnya perkara ini mampu mengganggu gugat keamanan dan kesejahteraan sesebuah negara. Apatah lagi jika negara itu mempunyai populasi penduduk yang ramai menganut agama Islam.

Kesemua perkara yang disebut di atas memang jelas haram di sisi Islam. Namun, mengapa ia masih berlaku walaupun pihak-pihak yang berkaitan telah mengambil langkah sewajarnya untuk mencegah?

Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini telah pun mengharamkan perbuatan pengkid setelah melihat gejala itu di kalangan remaja perempuan Islam semakin membimbangkan.

Pengerusinya, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin berkata, bukan sahaja gerak laku, berpakaian, penampilan, percakapan dan rupa seolah-olah lelaki, malah golongan pengkid juga tidak berminat kepada lelaki tetapi berminat kepada kaum sejenis.

Malangnya, fatwa yang dikeluarkan itu langsung tidak dihiraukan golongan berkenaan. Malah, mereka seolah-olah menganggap ia hanyalah perbuatan sia-sia belaka hingga sanggup memperlekehkan fatwa tersebut kerana mereka tetap tidak mahu berubah.

Pelakon dan pengarah terkenal, Afdlin Shauki mempunyai pandangan tersendiri mengenai perkara ini. Menurutnya pengkid, lesbian dan yang seangkatan dengannya adalah satu peringkat dalam kehidupan manusia yang mencari-cari identiti sendiri.

"Jadi, dalam pencarian kehidupan itu, mereka sebenarnya telah tersasar dan tersalah memilih jalan yang tidak sepatutnya dilalui. Bagi saya, mereka juga sama seperti insan lain di dunia ini. Cuma jalan yang dipilih berbeza dengan kebanyakan manusia lain.



AFDLIN SHAUKI
--------------------------------------------------------------------------------

"Seharusnya semua orang patut percaya bahawa bukan semua yang berlaku akan berkekalan seperti yang kita kehendaki. Mungkin untuk seketika kita akan bahagia, tetapi dalam lembaran kehidupan yang lain, sebaliknya akan berlaku.

"Justeru apa yang penting, jika tahap keimanan kita begitu kuat pada Yang Maha Pencipta, saya yakin seseorang manusia akan bertemu dengan apa yang dicari dalam kehidupannya. Dalam pencarian siapa diri kita sebenarnya, manusia sepatutnya mendekatkan diri dengan agama kerana melalui cara itu kita boleh mengenal diri," ungkap Afdlin penuh makna.

Di samping itu, Afdlin berkata, keputusan untuk menjadi pengkid dan sebagainya adalah pilihan peribadi mereka. Oleh itu, pilihan peribadi itulah yang harus dikaji semula sedalam-dalamnya.

"Dalam hal ini, individu yang berada di sekeliling merekalah yang boleh membantu dan mengajak mereka kembali ke pangkal jalan. Tetapi ia bukan satu tugas mudah dan sebagai artis yang menjadi perhatian umum, adalah menjadi tanggungjawab saya menjadi contoh terbaik dan tidak melakukan perkara negatif yang boleh menjadi ikutan masyarakat."

Sementara itu, pendakwah bebas dan pakar motivasi, Profesor Madya Md. Izuddin Ali berkata, dalam usaha menarik golongan sedemikian berubah ke arah kebaikan, ia perlu dilakukan secara berhemah dan beransur-ansur.

"Sebagaimana perubahan ke arah menjadi pengkid juga secara beransur-ansur, maka begitu juga sebaliknya. Sebagai masyarakat yang berilmu, kita perlu menggunakan pendekatan berhikmah dalam membimbing individu sebegini.

"Tidak dinafikan ibu bapa dan keluarga memainkan peranan penting ke arah pembentukan peribadi diri anak-anak. Jadi, mulakan didikan sedari kecil dan jangan bersikap sambil lewa dalam mendidik anak-anak," kata beliau ketika diminta mengulas mengenai isu ini.



PROF. MD. IZUDDIN ALI
--------------------------------------------------------------------------------

Prof Izudin menyatakan peluang untuk berubah sentiasa ada.

"Jangan sesekali berputus asa terhadap rahmat Allah s.w.t kerana ia terlalu luas. Walau sebesar mana pun dosa seseorang anak Adam itu, tetapi jika mereka telah bertaubat sepenuh hati, nescaya akan diampunkan oleh Allah s.w.t.

"Kedua, cuba dapatkan persekitaran yang positif untuk menggalakkan perubahan dalam diri. Selain itu, untuk berubah sepenuhnya ia mungkin tidak dapat dilakukan seratus peratus, tetapi cuba perlahan-lahan.

"Paling utama, kawal naluri dan nafsu yang sentiasa mengajak manusia melakukan kejahatan. Jangan mencari jalan penyelesaian dengan cara bermasalah seperti membunuh diri dan sebagainya. Tetapi berbincang dan luahkan perasaan pada insan tertentu yang boleh memahaminya," jelasnya lagi.

Bagaimanapun, apabila menyentuh aspek perubahan yang diharapkan di kalangan pengkid, tiada apa yang boleh dilakukan kerana pokok pangkalnya bermula daripada hati masing-masing.

Mungkin sesetengah pihak boleh berdakwah dengan cara berhikmah, tetapi jika tiada kesedaran sendiri di hati mereka, tiada maknanya semua itu. Oleh itu, tepuk dada tanyalah iman, bukan tanya selera. - KHADIJAH MOHAMAD NOR

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2008&dt=1216&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...