Wednesday, December 17, 2008

Minyak tidak diserap makanan dicipta


SUHAILA (kiri) dan rakan setugas, Rosalina Tan Roslan Tan menunjukkan minyak Addex
di UPM, Serdang semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


SERDANG - Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan sejenis minyak yang apabila dicampurkan ke dalam minyak masak dapat menghalang minyak meresap ke dalam makanan terutamanya yang digoreng.

Menurut Profesor Kanan Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Prof. Dr. Suhaila Mohamed, minyak yang dinamakan Addex itu terdiri daripada formulasi khas biophenol daripada ekstrak tumbuh-tumbuhan.

"Hasil penemuan ini, berupaya bertindak sebagai perencat serapan minyak yang pertama di dunia serta sebagai antioksidan lemak semula jadi sehingga 85 peratus terhadap makanan.

"Ia juga mempunyai nilai untuk kesihatan lain seperti menghalang tekanan darah tinggi, antialah, antikejang otot, antikuman, antibengkak dan antikanser," katanya kepada Kosmo! selepas majlis promosi hasil penyelidikan UPM di sini semalam.

Suhaila memberitahu, minyak Addex ini juga dapat mengurangkan kegemukan dan memperlambatkan proses penuaan.

Selain itu, ia juga mampu meningkatkan rasa, kerangupan dan kualiti sesuatu makanan yang di goreng.

Pada masa yang sama, terdapat satu lagi produk lain yang diperkenalkan semalam iaitu 'Imbasan Optikal Berbilang Pancaran'.

Menurut penciptanya, Prof. Madya Dr. Ishak Aris dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, produk itu boleh digunakan untuk sistem laser yang melakukan aktiviti industri seperti pemotongan, penandaan, melorek dan pengimpalan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1217&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...