Wednesday, December 17, 2008
Ayah Pin muncul pada Aidiladha
Oleh HARADIAN SHAH HAMDAN
haradian_shah@yahoo.com
KUALA TERENGGANU - Pemimpin Kerajaan Langit, Ayah Pin yang kini menjadi buruan pihak berkuasa didakwa dilihat berada di perkampungan kumpulan itu di Kampung Batu 13, Hulu Besut, minggu lalu.
Menurut maklumat, Ayah Pin atau nama sebenarnya, Ariffin Muhamad, 68, dikatakan bersama-sama para pengikutnya melakukan upacara korban dua ekor lembu semasa Hari Raya Aidiladha.
Paling menghairankan, semasa upacara itu dia turut melakukan amalan pelik apabila 'menyembelih' pada bahagian ekor haiwan itu terlebih dahulu dan bukan pada leher seperti kebiasaan.
Kosmo! dimaklumkan lelaki berasal dari Pasir Puteh, Kelantan itu sebenarnya memang bersembunyi di kawasan sekitar perkampungan tersebut yang kini didiami tiga isteri dan para pengikutnya.
Pendedahan mengenai perkara itu dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Jabi, Ramlan Ali ketika dihubungi semalam.
Menurut Ramlan, beliau tahu perkara itu kerana kawasan diwakilinya terletak berdekatan dengan tempat tinggal kumpulan tersebut.
"Ayah Pin berada di situ untuk melakukan korban baru-baru ini. Dia memang ada di perkampungan itu tapi pejabat agama dan polis gagal mengesannya kerana dia bersembunyi.
"Dia ada ramai anak murid (pengikut) di situ yang boleh membantunya bersembunyi di kawasan belukar," jelasnya.
Kosmo! baru-baru ini melaporkan dakwaan mengenai pengasas Kerajaan Langit itu yang menghilangkan diri pada tahun 2005, dilihat berada di perkampungan berkenaan.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2008&dt=1216&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm
No comments:
Post a Comment