Wednesday, December 17, 2008

Tukang Urut dan Pelacur Gay

Sebagai sebuah negara Islam isu khidmat tukang urut dan pelacur gay ini sangat menjengkelkan dan memalukan.



SEMUA agama di dunia tidak membenarkan dan memandang rendah terhadap golongan yang mengamalkan kehidupan songsang ini. – Gambar hiasan
--------------------------------------------------------------------------------

Kegusaran dan kegelisahan terhadap isu khidmat tukang urut dan pelacur gay menjadi semakin panas dan hangat diperkatakan di kebanyakan media massa, baik media cetak mahupun media elektronik.

Isu yang menarik tumpuan dan perhatian ramai pihak ini mencetuskan pelbagai reaksi, baik yang mengambil langkah membanteras dan ada juga pihak yang tidak mengambil endah terhadap isu ini dan menganggap isu ini suatu agenda yang sengaja dimainkan di media untuk mendapat keuntungan.

Biarpun pelbagai respons dan reaksi yang diberikan namun realitinya harus diterima semua pihak bahawa isu gay ini telah menular di kalangan masyarakat kita.

Golongan yang dilabelkan sebagai cuba lari daripada fitrah semula jadi manusia ini telah wujud sejak zaman Nabi Luth. Golongan ini dikatakan meminati kaum sejenis sehingga membawa kepada kemungkaran Allah dan dibinasakan atas perbuatan mereka sendiri.

Tentunya kita takut untuk melihat kemaslahatan yang sama terjadi pada masyarakat kita pada hari ini. Golongan gay yang tidak ubah seperti 'cendawan yang tumbuh lepas hujan' memberi implikasi yang amat jelas kepada negara kita.

Penyakit HIV/AIDS yang semakin serius di negara kita merupakan implikasi yang menyerang golongan yang mengamal kehidupan songsang ini.

Penyakit bawaan virus ini merupakan mimpi ngeri yang menghantui golongan belia ketika ini. AIDS kini adalah satu wabak pandemik dengan lebih 30 juta orang telah dijangkiti HIV di seluruh dunia.

Lebih 2 juta daripadanya maut akibat AIDS. Mengikut catatan rekod kes HIV/AIDS yang diterima Pusat Sumber Majlis AIDS Malaysia, golongan lelaki sentiasa merangkumi peratusan utama jangkitan HIV (lebih 80 peratus) dan penghidap AIDS sejak 1986 sehinggalah rekod terbaru enam bulan pertama 2008.

Selain menularnya wabak penyakit ini, tanpa kita sedari isu 'khidmat tukang urut dan pelacur gay' ini memberi impak yang negatif kepada imej negara sebagai sebuah negara Islam. Laungan Islam Hadhari yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri kita sedikit sebanyak mendapat tempiasnya.

Sebagai sebuah negara Islam isu sebegini sangat menjengkelkan dan memalukan lebih-lebih lagi isu ini dikatakan agak parah melanda negara.

Kelicikan sindiket yang berjaya mengaburi mata pihak berkuasa menjadi salah satu pemangkin kepada berleluasanya aktiviti golongan gay ini.

Sikap mendiskriminasi golongan ini dan mengasingkan mereka dari lapisan masyarakat bukan jalan terbaik untuk menyelesaikan permasalahan ini.

Biarpun apa yang mereka lakukan di luar norma kehidupan manusia namun sebagai manusia yang mampu berfikir secara relevan dan kritis tindakan sebegini tidak mampu membuahkan hasil malah apa yang jelas menjadi luka yang bertambah parah. Selain itu, apa yang menyedihkan akan sikap segelintir pihak yang duduk menunding jari sahaja tanpa memikirkan solusi yang harus diambil untuk sama-sama membanteras isu ini. Sikap menunding jari ini harus dibuang terlebih dahulu dalam diri setiap masyarakat agar isu 'khidmat tukang urut dan pelacur gay' ini tidak lagi terus menghantui kita.

Sesungguhnya manusia diciptakan berpasang-pasangan, Adam dan Hawa. Perempuan memerlukan lelaki dan lelaki memerlukan perempuan untuk mengimbangi kehidupan di dunia ini.

Apa yang jelas semua agama tidak membenarkan dan memandang rendah terhadap golongan yang mengamalkan kehidupan songsang ini.

Tuntasnya 'khidmat tukang urut dan pelacur gay' ini merupakan penyakit jiwa yang harus dilihat dari pelbagai perspektif.

Mari kita renung-renungkan dan berpegang dengan prinsip 'satu betul tak semuanya betul, tetapi satu salah semuanya salah' agar kita sedar bahawa penyakit sosial yang menyerang dan melanda negara kita adalah tanggungjawab kita bersama. Andai permasalahan ini berjaya kita hadapi bersama, tidak mustahil sebarang masalah yang bakal kita hadapi pada masa akan datang akan dapat kita bendung dengan mudah. Ingat 'bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat'.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2008&dt=1216&pub=Kosmo&sec=Akademi&pg=ak_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...