Wednesday, December 17, 2008

'Datuk' marah tembelang pecah

Oleh JUNHAIRI ALYASA
junhairi.alyasa@kosmo.com.my




MESEJ khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh 'Datuk' kepada ahli-ahli yang belot.
--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - "Kamu semua adalah pembelot kerana mendedahkan kegiatan pelaburan alam bunian."

Itulah khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada 'Datuk' yang marah kepada salah seorang daripada 10 ahli pelaburan bunian berikutan pendedahan yang dibuat kepada Kosmo! sejak dua hari lalu.

Helmi (bukan nama sebenar) bukan sahaja dituduh pembelot, malah difitnah sehingga menimbulkan kebencian kepada pelabur-pelabur lain.

"Sekarang ramai pelabur lain yang marah kepada kami kerana mereka mengatakan kami yang menyebabkan 'perniagaan' yang dijalankan 'Datuk' gagal dan pelaburan mereka hangus," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Helmi mendakwa, semuanya angkara 'Datuk' yang sengaja membuat cerita kepada pelabur lain mengatakan dia dan rakan-rakannya bercadang untuk mencederakannya serta mengugut supaya mengembalikan wang mereka semula.

"Kami tidak pernah melakukan perkara tersebut, sebaliknya membuat laporan polis dan mendedahkannya di media supaya orang ramai tidak lagi terpedaya dengan tipu muslihat lelaki tersebut yang memang pandai berpura-pura.

"Apa yang kami lakukan sangat berasas setelah menyedari kami ditipu sepanjang empat tahun bersamanya dan kami tidak mahu orang lain menjadi mangsa terutama mereka yang baru hendak mencuba pelaburan dengannya," ujarnya.



HELMI (kanan) menunjukkan penyata pelaburan alam buniannya kepada wartawan Kosmo! pada pertemuan di Sungai Buloh semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


Semalam dan kelmarin Kosmo! membongkar kegiatan seorang lelaki yang mendakwa dirinya bergelar 'Datuk', telah memperdaya orang ramai untuk menyertai skim pelaburan 'alam bunian Puteri Jasnita' yang kononnya mampu memberi pulangan jutaan ringgit kepada pelaburnya.

Lelaki itu dikatakan bergiat aktif mencari mangsa sejak lima tahun lalu di beberapa buah negeri seperti Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Skim itu juga dikatakan menawarkan 'faedah sesat' kepada pelabur iaitu tidak wajib solat, persetubuhan tanpa nikah jadi halal, haram pakai kopiah bagi lelaki dan wanita pula memadai memakai selendang.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2008&dt=1216&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...