Wednesday, December 17, 2008

Rebut jenazah suami


Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my

PEKAN: Akibat menjadi rebutan dua wanita dipercayai isteri pertama di Indonesia dan bekas isteri kedua, seorang wanita tempatan, jenazah seorang kontraktor warga Indonesia yang mempunyai taraf penduduk tetap, yang maut selepas terbabit nahas jalan raya di Kilometer 22, Jalan Pekan-Rompin, Nenasi, di sini semalam, terpaksa ‘ditahan’ seketika di Bilik Mayat Hospital Pekan (HP).

Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahya Othman, berkata mangsa yang berasal dari Jawa Tengah dikenali sebagai Muslam Sukarno, 38, dipercayai meninggal dunia apabila kereta Proton Wira dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam paya sedalam kira-kira tiga meter di laluan berkenaan.

Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa yang memandu bersendirian dari arah Rompin menuju Pekan dikatakan gagal mengawal kenderaannya dipercayai akibat dipandu laju sebelum terbabas dan terhumban ke dalam paya berkenaan.

Katanya, kejadian itu disedari orang awam yang kebetulan melalui tempat kejadian sebelum menghubungi anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Pekan yang tiba kira-kira lima minit kemudian.


“Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat lemas kerana paya itu digenangi air berikutan hujan lebat beberapa hari lalu,” katanya semalam.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke HP untuk bedah siasat dan sepatutnya dituntut ahli keluarganya sebaik bedah siasat selesai dijalankan, namun terpaksa disimpan di bilik mayat hospital berkenaan berikutan ada dua pihak berebut untuk menuntut jenazah berkenaan.

Menurutnya, keadaan itu berlaku apabila ada seorang lelaki mengaku wakil kepada isteri pertama mangsa yang menetap di Indonesia mahu menuntut mayat lelaki itu untuk disemadikan di negara asalnya.

“Selain itu, terdapat seorang lagi wanita yang mendakwa bekas isteri kedua mangsa dan mempunyai seorang cahaya mata ketika mereka berkahwin turut datang untuk menuntut jenazah bekas suaminya itu,” katanya.

Menurutnya, pertelingkahan kedua-dua pihak berkenaan menimbulkan sedikit kekecohan di bilik mayat HP apabila mereka bertegang urat mempertahankan pendirian masing-masing.

“Wakil isteri pertama mendakwa menerima arahan untuk membawa pulang jenazah mangsa ke Indonesia untuk dikebumikan selain lebih berhak terhadap jenazah itu.

“Bagaimanapun, bekas isteri kedua mangsa berusia 25 tahun membantah keputusan itu dan mendakwa urusan membawa pulang jenazah mengambil masa agak lama selain membabitkan kos tinggi,” katanya.

Berikutan itu, polis mengarahkan kedua-dua pihak berkenaan berbincang bagi mendapat kata putus mengenai cara untuk mengkebumikan jenazah berkenaan.

Sementara itu, pihak HP terpaksa menahan sementara mayat Muslam daripada dituntut mana-mana pihak hingga mereka membuat keputusan muktamad bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20081217092514/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...