Wednesday, December 17, 2008
Bank Eropah, Asia dedah rugi kerana skim piramid
LONDON - Kumpulan kewangan dan bank utama dunia semalam mendedahkan potensi kerugian akibat penipuan oleh pedagang Wall Street, Bernard Madoff yang melibatkan komplot skim pelaburan piramid.
Bank-bank Britain, Perancis, Jepun dan Sepanyol menyatakan pelaburan berjumlah berbilion-bilion dolar bakal hangus akibat skandal pelaburan piramid itu yang turut melibatkan beberapa individu terkaya di dunia.
Royal Bank of Scotland menyatakan bank itu kerugian sekitar £400 juta (RM2.1 bilion) sekali gus menyertai senarai bank di Eropah, Asia dan Amerika Syarikat (AS) yang terjejas akibat skandal itu.
Saham bank terbesar di Sepanyol dan kedua di Eropah selepas HSBC, Santander menjunam setelah bank tersebut menyatakan ia memberikan pinjaman lebih AS$3 bilion (RM10.6 bilion) kepada syarikat pelaburan Madoff di New York.
Bank pelaburan Natixis milik Perancis yang sudah terjejas akibat kerugian subprima meletakkan kerugian sehingga 450 juta euro (RM2.1 bilion) manakala gergasi bank peruncitan, BNP-Paribas mendedahkan kehilangan maksimum sebanyak 350 juta euro (RM1.6 bilion).
Madoff, seorang pedagang veteran Wall Street yang ditangkap pada Khamis lepas didakwa oleh pendakwa raya AS kerana mengaku menipu para pelabur sebanyak AS$50 bilion (RM178.1 bilion) menerusi skim piramid gergasi yang runtuh tahun ini akibat krisis kewangan global. - Agensi
http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2008&dt=1216&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm
No comments:
Post a Comment