Wednesday, December 17, 2008

Dua mangsa terbaru demam chikungunya


PERIKSA...kakitangan Jabatan Kesihatan memeriksa Dayana
Batrisya Mohamad Zohir selepas Kampung Batu Lima, Jalan
Jeniang diserang demam chikungunya.



SUNGAI PETANI: Dua daripada tiga penduduk dari Kampung Batu Lima, Jalan Jeniang dekat Gurun menjadi mangsa terbaru demam chikungunya selepas dikesan mengalami tanda demam itu ketika menjalani pemeriksaan kesihatan oleh Jabatan Kesihatan Kuala Muda, semalam.

Penduduk terbabit kemudian ditahan di Hospital Yan bagi mendapat rawatan selepas disahkan dijangkiti demam chikungunya menjadikan jumlah mereka yang dijangkiti penyakit itu meningkat kepada 35 orang.

Kampung Batu Lima adalah kampung kedua yang diserang penyakit demam chikungunya selepas Kampung Baru Sungkup Para, Bukit Selambau.

Timbalan Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Shahidan Hashim, berkata mangsa terbaru adalah dua lelaki dimasukkan ke Hospital Yan lewat malam kelmarin selepas pemeriksaan mendapati mereka mengalami tanda demam chikungunya seperti sakit sendi, bengkak badan dan lemah seluruh anggota badan.

Katanya, mangsa terbaru itu diletakkan di wad khas hospital itu bagi memudahkan pegawai dan kakitangannya membuat pemantauan manakala sepasukan pengawai jabatan itu juga telah dihantar ke kampung itu.

“Keadaan dua mangsa ini tidak begitu serius dan cuma memerlukan rawatan lanjut serta sehingga lewat malam semalam terdapat 33 mangsa yang dirawat di Hospital Sungai Petani (lama) dan dua di Yan.

“Jumlah pesakit di HSAH cuma tinggal 29 orang saja selepas tiga daripadanya dibenarkan pulang ke rumah selepas disahkan sihat,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20081217092355/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...