Wednesday, January 14, 2009

47 peratus pesakit denggi mati lewat terima rawatan


PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesan lebih 47 peratus pesakit demam denggi meninggal dunia berikutan lewat mendapat rawatan sewajarnya di hospital.

Berikutan itu, kementerian itu melancarkan buku Garis Panduan Amalan Klinikal (CPG) bagi memberi panduan kepada doktor, pembantu perubatan dan jururawat mengenal pasti gejala dan rawatan sesuai untuk pesakit yang disyaki menghidap penyakit itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, berkata buku itu akan diedarkan secara percuma ke seluruh hospital di negara ini dalam usaha kerajaan mengurangkan kematian akibat demam denggi.

“Kita berharap doktor, jururawat atau pembantu perubatan di klinik dan hospital di seluruh negara dapat menggunakan buku untuk mengenal pasti dan memberi rawatan sebaik mungkin kepada pesakit denggi,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas melancarkan buku CPG Pengurusan Demam Denggi Untuk Golongan Dewasa di sini, semalam.

Selain mengedarkan buku berkenaan, beliau berkata, kementerian itu juga akan menganjurkan satu seminar khas yang dihadiri pengarah kesihatan negeri, doktor pakar dan pengamal perubatan bagi meningkatkan tahap pengurusan pesakit denggi di hospital dan klinik di seluruh negara.

“Kita mendapati kadar kes demam denggi tahun lalu meningkat sebanyak 489 kes atau satu peratus kepada 49,335 kes berbanding 2007.

“Kami berharap menerusi seminar yang diadakan ini, ia dapat mencari jalan penyelesaian bagi menghadapi peningkatan kes demam denggi di seluruh negara,”
katanya.

Statistik juga, katanya, mendapati Labuan mencatat peningkatan kes denggi tertinggi sebanyak 141 peratus, Perak (46 peratus), Terengganu (36 peratus), Selangor (34 peratus), Johor (16 peratus), Melaka (13 peratus) dan Negeri Sembilan (10 peratus).

“Secara keseluruhnya, kadar kes kematian akibat demam denggi juga meningkat daripada 98 pada 2007 kepada 112 tahun lalu.

“Daripada jumlah berkenaan, 94 peratus atau 46,518 kes adalah demam denggi manakala enam peratus atau 2,817 kes membabitkan kes denggi berdarah (DHF),”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090113085422/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...