Wednesday, January 14, 2009

MAS mansuh surcaj

KUALA LUMPUR - Orang ramai bakal menikmati tambang kapal terbang lebih murah mulai hari ini.

Ini ekoran langkah Penerbangan Malaysia (MAS) memansuhkan surcaj bahan api domestik setelah mengambil kira penurunan dalam harga bahan api serta tekanan persaingan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Datuk Seri Idris Jala berkata, pemansuhan surcaj itu juga bertujuan untuk merangsang perjalanan udara semasa tempoh kelembapan ekonomi.

Bagaimanapun, menurut beliau, bahan api kekal sebagai kos terbesar syarikat penerbangan itu.

"Perbelanjaan bahan api bagi tahun kewangan 2008 lebih tinggi berbanding 2007 memandangkan surcaj bahan api hanya membabitkan kira-kira 30 peratus daripada kos bahan api,'' katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, meskipun berlaku penurunan dalam harga minyak baru-baru ini, kos bahan api tetap lebih tinggi berbanding dengan surcaj yang diperkenalkan pada 2004.

Idris berkata, syarikat itu akan menawarkan harga yang lebih kompetitif bagi tawaran MH Value Fares yang menyediakan empat pilihan tambang baru bagi penumpang kelas ekonomi iaitu MHlow (diskaun sehingga 70 peratus), MHbasic (sehingga 50 peratus) dan MHsmart (sehingga 20 peratus) dan MHflex.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...