Wednesday, January 14, 2009

Bukan jaga sebelah pihak


Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri


KUALA LUMPUR: Tindakan Persekutuan Pengusaha Bas Sekolah Semenanjung Malaysia (PPBSSM) yang membuat pelbagai tuntutan dan yang terbaru mengugut untuk menghentikan perkhidmatan menghairankan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

Ini kerana, perkara berkenaan dibangkitkan sebaik sesi persekolahan 2009 mula dibuka dan tuntutan itu bukan dibuat sejak harga diesel dan petrol diumumkan tahun lalu.

Menurut Pengarah LPKP, Naimah Ramli, tindakan PPBSSM mengenakan surcaj 30 peratus dan mengugut untuk menghentikan perkhidmatan selama dua minggu kerana tuntutan mereka untuk mendapatkan subsidi diesel mengundang rasa hairan.

“Kenapa baru sekarang mereka membuat pelbagai tuntutan? Harga petrol dan diesel diumumkan tahun lalu, tetapi kenapa mereka tidak membuat tuntutan sejak harga baru itu diumumkan?” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengulas mengenai kenyataan PPBSSM membekukan perkhidmatan selama dua minggu menjelang Februari ini jika tuntutan 30 peratus surcaj tambang tidak dipenuhi kerajaan.

Tindakan itu dibuat bagi membuka mata LPKP untuk menilai serta menimbang semula memorandum berhubung cadangan kenaikan kadar tambang serta penambahan subsidi diesel serta pengurangan harga diesel kepada RM1 seliter.

Bagaimanapun, tarikh pelaksanaan pembekuan perkhidmatan belum ditetapkan.

Menurutnya, tindakan PPBSSM itu juga seolah-olah mencabar LPKP sedangkan kenyataan mengenai kajian kadar tambang baru sedang dijalankan.

“Kami sudah banyak kali maklumkan kadar tambang baru sedang dikaji. Banyak perkara perlu diambil kira dan kami tidak akan membuat keputusan yang menguntungkan sebelah pihak,” katanya.

Naimah berkata, LPKP bertanggungjawab untuk menjaga kepentingan pengguna iaitu ibu bapa kerana setiap pengumuman yang dibuat akan memberi kesan secara langsung kepada ibu bapa.

“Kami tidak boleh fikirkan sebelah pihak saja. Ibu bapa yang mengeluarkan belanja untuk membayar yuran bulanan perkhidmatan bas sekolah dan kami akan membuat keputusan adil untuk semua pihak.

“Jika hanya seorang anak saja yang bersekolah, ia mungkin tidak menjadi masalah, tapi bagaimana dengan ibu bapa yang mempunyai empat anak bersekolah dan semuanya menggunakan perkhidmatan bas sekolah,”
katanya.

Menurut Naimah, tindakan mereka mengugut untuk membekukan perkhidmatan selama dua minggu menunjukkan mereka seolah-olah tidak berminat meneruskan tugas sebagai pemandu dan pengusaha bas sekolah.

“Jika, mereka tidak berminat, ia tidak menjadi masalah kepada kami. Tetapi, akan menjadi masalah kepada mereka sendiri kerana hilang mata pencarian,” katanya.

Menurutnya, ibu bapa perlu menjalankan tanggungjawab mereka dengan melaporkan kepada LPKP sekiranya mereka menjadi mangsa pengusaha bas sekolah.

Aduan boleh dibuat melalui talian 1-800-88-9600 atau menerusi khidmat pesanan ringkas ke 39900 atau e-mel ke aduanlpkp@mecd.gov.my.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090113090033/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...