Wednesday, January 14, 2009

Bush mengaku kecewa


WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush (gambar) dalam wawancara terakhir sebelum meninggalkan White House kelmarin mengaku bahawa beliau amat kecewa akibat kegagalan menemui sebarang senjata pemusnah besar-besaran di Iraq.

Dalam sidang media berkenaan, Bush yang bakal bersara minggu hadapan turut menyatakan bahawa beliau dan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair menjadikan senjata pemusnah Iraq sebagai alasan untuk menyerang negara itu pada 2003.

Pada masa sama, Bush mengaku beliau tersilap percaturan mengenai Iraq sehingga menyebabkan kematian lebih 4,000 askar AS kurang dua bulan selepas mendakwa tentera penceroboh mencapai kemenangan dalam perang tersebut.

Ketika itu, Bush bermegah kepada dunia tentang kemenangan tentera penceroboh dan beliau dengan angkuh mengarahkan satu sepanduk besar yang tertera slogan 'Misi Selesai' dipasang pada sebuah kapal pengangkut pesawat AS.

"Jelas sekali, sepanduk besar itu satu kesilapan," katanya.

Selain isu tersebut, Presiden AS itu tanpa berselindung memberitahu bahawa beliau juga diberi nasihat yang kurang tepat mengenai beberapa ucapannya.

Berikutan kesilapan itu, Bush dikecam hebat kerana menggunakan ayat berbaur ancaman seperti hidup atau mati dan 'marilah (kami tidak gentar), terhadap pengganas.

Namun, Bush menjadi marah apabila wartawan memberitahu bahawa imej AS di luar negara tercalar semasa beliau menjadi Presiden.

"Saya tidak bersetuju dengan pandangan ini, anda semua tahu mengenainya iaitu tentang masyarakat dunia membenci AS," kata Bush.

Beliau turut memuji bakal presiden Barack Obama sebagai menawan dan bijak tetapi memberi amaran bahawa serangan pengganas akan kekal sebagai ancaman utama AS apabila Obama mengambil alih tampuk pemerintahan.

Sidang media White House kelmarin merupakan kali pertama Bush menjawab soalan wartawan selepas beliau dibaling dengan kasut ketika berada di Baghdad pada bulan lalu. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0114&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...