Sunday, January 18, 2009

Tidak jejas SPR


KUALA TERENGGANU: Peletakan jawatan Datuk Mat Razali Kassim sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) tidak menjejaskan kelancaran dan kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengendalikan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata Razali yang juga Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengambil keputusan sendiri dengan bertanggungjawab meletak jawatan sebagai RO dan berharap tiada pihak akan mempolitikkan tindakan itu.

“Beliau sudah pun melepaskan jawatan sebelum pilihan raya dijalankan dan kes itu ditutup. Jangan ganggu lagi sebab dia sudah bertanggungjawab dengan melepaskan jawatan.

“Razali tidak akan dikenakan sebarang tindakan kerana kes itu berbeza iaitu beliau melepaskan jawatan sebagai RO sebelum pilihan raya kecil berlangsung,” katanya pada sidang media di Pusat Media Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, Jalan Pejabat, semalam.

Pas sebelum ini mendakwa Razali berkempen untuk Barisan Nasional (BN) pada majlis bersama kakitangan MBKT, Rabu lalu dan menjadi satu kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya dan parti itu turut menggesa beliau melepaskan jawatan berkenaan.

Abdul Aziz berkata, Razali menafikan beliau berkempen untuk BN kerana sebagai RO, perlu bersikap berkecuali tanpa memihak kepada mana-mana parti bertanding pada pilihan raya berkenaan.

Menurutnya, SPR menerima surat penarikan diri Razali selepas membincangkan perkara itu secara mendalam.

Berikutan itu, Setiausaha MBKT yang juga Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kuala Terengganu, Wan Mustafa Wan Hassan, dilantik menjalankan fungsi dan tanggungjawab sebagai Pegawai Pengurus berkuat kuasa serta-merta.

“Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati mengenai perjalanan pilihan raya kecil itu termasuk membabitkan perlakuan RO boleh membawa kes itu ke mahkamah” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090117024517/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...