Sunday, January 18, 2009

SPR yakin tiada pengundi hantu di KT


Jan 17, 09 4:23pm


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yakin tidak wujud pengundi hantu dalam pengundian pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang berlangsung hari ini.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata sekiranya pihak tertentu mempunyai maklumat mengenai kewujudan pengundi hantu, mereka hendaklah membuat laporan segera kepada SPR untuk tindakan lanjut, lapor Bernama.

"Setakat ini saya tidak ada maklumat mengenai perkara berkenaan (pengundi hantu). Tapi saya yakin tidak ada pengundi hantu. Saya dah cakap berkali-kali, kalau ada maklumat tentang hantu-hantu ini, beritahu SPR," katanya di Kuala Terengganu, ketika ditanya pemberita mengenai enam buah bas diiringi polis dikatakan membawa pengundi hantu.

Beliau berkata SPR akan menyiasat dakwaan itu dan berpendapat kemungkinan pengundi tempatan yang berada di luar kawasan dibawa dengan menggunakan bas berkenaan untuk pulang mengundi di Parlimen Kuala Terengganu.

Katanya bas-bas itu mungkin diiringi polis bagi mengelakkan kejadian penahanan bas oleh penyokong parti di Marang pada pilihanraya umum lalu.

"Dan saya beri jaminan bukan pengundi hantu. Kalau bas lain, mana boleh hantu naik bas. Tak ada... Saya dah cakap berkali-kali tolong... Kalau ada apa-apa maklumat, nama ke, alamat ke, nombor kad pengenalan ke... beritahu kami (SPR). Kita akan sama-sama siasat dan ambil tindakan," katanya.

Beliau berkata Badan Bebas Pemantau Pilihan Raya Malaysia (Mafrel) dilarang daripada memasuki bilik saluran mengundi bagi memantau perjalanan pilihanraya kecil itu, sebaliknya mereka dibenarkan memasuki kawasan pusat mengundi.

Katanya sudah termaktub dalam peruntukan undang-undang, individu yang mengundi tidak boleh diganggu oleh mana-mana pihak.

Ketika ditanya sama ada terdapat cadangan supaya Pegawai Pengurus Pilihan Raya dilantik di kalangan pegawai SPR bagi mengelakkan pertindihan tugas, Abdul Aziz berkata cadangan itu akan dipertimbangkan.

"Kita akan timbangkan perkara tersebut. Setakat ini kita tidak ada masalah tapi kita akan lihat dan kaji dulu perkara ini," katanya.

Sebagai Pengerusi SPR yang baru, Abdul Aziz berkata beliau mengalukan pandangan untuk penambahbaikan SPR pada masa akan datang termasuk daripada Mafrel, badan bebas yang lain serta petugas-petugas SPR yang berpengalaman luas mengendalikan pilihanraya.

http://www1.malaysiakini.com/news/96672

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...