Friday, February 20, 2009

7 ahli Geng Thug Melayu ditahan


KUALA LUMPUR: Selepas mengganas lebih setahun, geng peras ugut dikenali Geng Thug Melayu akhirnya tumpas selepas tujuh ahli kumpulan terbabit termasuk dua wanita ditahan polis dalam serbuan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) di Kajang, Jumaat lalu.

Difahamkan, ahli kumpulan terbabit yang berusia 25 hingga 36 tahun aktif menjalankan kegiatan peras ugut serta memungut wang perlindungan dari pusat hiburan serta kawasan letak kereta sekitar Lembah Klang itu dikesan aktif sejak awal tahun lalu.

Mereka sanggup bertindak agresif dengan mencederakan mangsa sekiranya kehendak atau tuntutan wang perlindungan gagal dibayar. 

Lebih menakutkan apabila kumpulan terbabit akan bertindak ganas sesuka hati dengan melibas atau menetak mangsa hingga menyebabkan cedera parah tanpa belas kasihan.

Dalam serbuan pertama pada jam 1.40 tengah hari, polis menahan tiga ahli kumpulan terbabit dalam sebuah kereta berhampiran Plaza Tol Grand Saga di sini.

Pemeriksaan dijalankan polis menemui sejumlah senjata tajam yang disimpan dalam but kereta terbabit dan semua mereka ditahan untuk siasatan lanjut.

Susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah rumah teres di Jalan Kajang Perdana dan menemui sejumlah lagi senjata tajam.

Dalam serbuan itu, dua lelaki dan dua wanita warga China dipercayai masuk ke negara ini secara haram berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditahan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Aziz Zakaria, berkata pihaknya kini sedang memburu enam lagi ahli kumpulan terbabit yang masih bebas bagi membantu siasatan serta melumpuhkan kumpulan terbabit.

“Kami bertindak selepas menerima laporan beberapa mangsa kumpulan ini dan dipercayai ramai lagi yang menjadi mangsa. Oleh itu diharapkan mereka tampil membuat laporan dan membantu kami dalam menjalankan siasatan,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090220091410/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...