Friday, February 20, 2009

Perak - ‘Dia tidak boleh halang’

‘Dia tidak boleh halang’


Oleh Kamarulzaman Pid

amar@hmetro.com.my


PUTRAJAYA: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar tidak menghormati keputusan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang berkenan melantik Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang baru mengikut kuasa yang diperuntukkan kepada baginda, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, semalam.

“Speaker tidak boleh menghalang. Pelantikan Menteri Besar dan exco diperkenan Sultan Perak dan (mereka) mengangkat sumpah di hadapan baginda. Mereka dilantik secara sah.

“Jadi saya anggap apa yang dilakukan Speaker DUN Perak itu sebagai suatu yang menyalahi, satu tindakan membantah, menentang, menolak apa yang dilaksanakan Sultan Perak mengikut perlembaaan negeri Perak,”
katanya mengulas tindakan Sivakumar, menggantung Dr Zambry dan enam exconya menghadiri persidangan dewan itu antara 12 hingga 18 bulan, berkuatkuasa serta-merta.

Perdana Menteri sebelum itu melancarkan ‘Tabung Kemanusiaan Untuk Kanak-Kanak Gaza’ di Seri Perdana di sini, semalam.

Menurut Abdullah tindakan Sivakumar itu dilihat sebagai taktik parti pembangkang menggulingkan kerajaan BN Perak.

Beliau berkata, jika mereka tidak dibenarkan menghadiri persidangan DUN Perak, bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada Barisan Nasional (BN) akan berkurangan berbanding Adun Pakatan Rakyat (PR) dan jika langkah itu berjaya kemenangan akan berpihak kepada mereka.

“Sudah tentu itu satu caranya (gulingkan BN). Kita tahulah apa dia punya pelan (rancangan) dan muslihat sebenar dalam perkara ini. 

“Apabila dewan bersidang dan kalau Exco ini tak boleh hadir, bermakna Ahli Dewan Undangan Negeri daripada BN tinggal bilangan yang kecil iaitu 21 kerusi.

“Ini bererti, kalau ada undi mereka harap kemenangan akan berpihak kepada parti dalam Pakatan Rakyat.

“Tidak ada niat baik dalam tindakan mereka, cuma niatnya ialah nak gulingkan kerajaan BN yang diwujudkan,”
katanya.

Abdullah berkata, kerajaan BN Perak diminta membuat laporan polis mengenai perkara itu kerana mereka mempunyai hak untuk menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), berkenaan. 

“Saya sudah cakap dengan beliau (Dr Zambry) dan mengutarakan pandangan saya (membuat laporan polis) mengenai perkara itu dan beliau juga mempunyai pandangan sama.

“Itulah tindakan yang akan mereka lakukan,”
katanya. 

Biarpun berdepan masalah itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan BN Perak akan terus berfungsi sebagai sebuah kerajaan yang sah.

“Kerajaan negeri Perak akan terus berfungsi dan akan menjalankan pentadbiran sebagaimana dikehendaki rakyat dan sebagaimana yang boleh dilakukan sebuah kerajaan sah yang ada pada hari ini,” katanya.

Abdullah juga menolak pandangan pilihan raya perlu diadakan bagi menyelesaikan masalah di Perak.


http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090220092123/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...