Friday, February 20, 2009

Eli nekad lepas jawatan

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my


SHAH ALAM: Selepas insiden memalukan membabitkan pengedaran gambar separuh bogelnya kepada umum, Exco Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong Keat Ping (Eli), nekad untuk melepaskan jawatan yang disandangnya.

Menurutnya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada pemimpin parti dan beliau berterima kasih kepada semua pihak di atas keperihatinan dan sokongan barisan kepimpinan parti.

“Saya harap mereka faham kesukaran saya alami. Saya tidak pernah rasa keseorangan, serba salah dan terhina.

“Saya perlu berehat untuk mencari ketenangan jiwa, terutama situasi mencabar yang berlaku ke atas diri saya. Ini adalah episod paling hitam dalam hidup saya,”
katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau menyatakan akan berlepas ke luar negara tanpa memberitahu destinasi percutiannya.

Eli, 37, berkata, walaupun dirinya menawarkan untuk meletakkan semua jawatan politik itu, pihak media dan pengendali laman web terus mengganggu kehidupan peribadinya.

“Saya juga dimaklumkan oleh beberapa media yang mereka akan terus menyiarkan lebih banyak grafik lucah dan berita sensasi mengenai diri saya.

“Saya juga diberitahu akan ada serangan terbaru dengan lebih banyak foto dan video akan disiar dan diedarkan bagi memalukan dan menjatuhkan saya,”
katanya.

Beliau turut menghargai sokongan daripada semua pihak terutama pengundi, wanita dan rakan dalam parti.

“Tiada perkataan yang boleh saya ungkap sebagai tanda penghargaan saya ke atas anda,” katanya menambah perjuangan terhadap parti masih utuh dan akan terus kekal sebagai ahli parti bagi meneruskan perjuangan ke arah pembentukan sebuah masyarakat yang adil.

Katanya, beliau berharap perbincangan lebih tertumpu kepada krisis ekonomi kini dan bukan menganalisis diri dan kehidupan peribadinya.

Malah, dalam kenyataan satu muka surat itu, Eli turut menegaskan negara akan berdepan krisis ekonomi serius sehingga menyebabkan kadar pengangguran meningkat manakala rasuah masih berleluasa.


http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090220092246/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...