Sunday, March 1, 2009

Kerajaan tangguh kenaikan tol

PUTRAJAYA - Selepas hanya 24 jam pengumuman mengenai kenaikan kadar tol di lima lebuh raya diputuskan kelmarin, Kabinet semalam mengambil keputusan untuk menangguhkan kenaikan tersebut yang sepatutnya bermula Ahad ini ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan keputusan itu berkata, kadar baru tol itu tidak akan dilaksanakan dalam jangka masa terdekat atau sehingga akhir tahun ini seperti yang diumumkan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Mohd. Zin Mohamed.

Mohd. Zin pada sidang akhbar di kementeriannya petang semalam berkata, kerajaan akan menangguhkan kadar baru di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint), Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuh Raya Baru Pantai (NPE) sehingga akhir tahun ini.

Ekoran penangguhan kadar kenaikan tol itu, Najib berkata, kerajaan terpaksa membayar RM500 juta yang terdiri daripada wang pembayar cukai kepada syarikat konsesi kelima-lima lebuh raya itu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita mengenai perkara itu pada sidang akhbar mengenai ekonomi negara di Kementerian Kewangan di sini.

Najib turut menafikan tanggapan sesetengah pihak kononnya penangguhan kenaikan kadar tol di lima lebuh raya itu ada kena mengena dengan pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak dan Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau di Kedah pada 7 April ini.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0228&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_12.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...