Sunday, March 1, 2009

PM Thailand tidak dihalang


ABHISIT (gambar kecil) tidak dihalang oleh sejumlah penunjuk perasaan pro-Thaksin di luar bangunan Rumah Kerajaan di Bangkok semalam.


BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva memasuki pejabatnya tanpa halangan semalam walaupun Rumah Kerajaan dibanjiri kumpulan antikerajaan yang mendesak beliau membubarkan Parlimen bagi membolehkan pilihan raya baru diadakan.

Pada hari kedua protes, lebih 3,000 penunjuk perasaan yang menyokong bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra sanggup berjemur dengan duduk di luar pagar sambil mendengar ceramah politik.

Sekumpulan penunjuk perasaan melontar botol-botol plastik ke arah polis antirusuhan dan anggota-anggota tentera yang mengadakan kawalan di kawasan berkenaan.

Tunjuk perasaan terbaru itu dianjurkan beberapa hari sebelum sidang kemuncak ASEAN berlangsung.

Pemimpin protes, Jakrapob Penkair berkata, pihaknya tidak berhasrat untuk mengganggu sidang berkenaan.

"Kami hanya mahu memberitahu para pemimpin asing bahawa rakyat Thai tidak menerima kerajaan Abhisit.

"Mereka mempunyai sokongan tentera dan elit tetapi mereka tidak punyai sokongan daripada majoriti rakyat," katanya.

Kumpulan anti-Thaksin pada tahun lalu turut mengepung Rumah Kerajaan selama tiga bulan dan menduduki dua lapangan terbang di Bangkok.

Thaksin yang diguling menerusi rampasan kuasa tentera pada September 2006 kini hidup dalam buangan tetapi masih popular di kalangan rakyat miskin dan penduduk kampung. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0226&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...