Sunday, March 1, 2009

Wang haram: Peguam didakwa


Hazlan (kiri) berjalan keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam selepas dituduh terlibat dalam aktiviti wang haram.


KUALA LUMPUR - Seorang peguam yang pernah didakwa atas tiga pertuduhan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram, semalam sekali lagi mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan yang sama membabitkan RM428,101 di Mahkamah Sesyen di sini.

Hazlan Abd Hamid, 37, didakwa memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM380,000 daripada satu akaun di Ambank (M) Berhad ke dalam satu lagi akaun di CIMB Bank Berhad di No 2 Medan Istana, Bandar Ipoh Raya, Ipoh, Perak milik Tetuan Iszam Kamal & Hazlan, pada 15 April 2008.

Pada 22 Mei 2008, dia didakwa memiliki wang berjumlah RM48,101.91 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di dalam satu akaun di Ambank (M) Berhad.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di syarikat Business Time Dina Sdn Bhd di Ambank (M) Berhad, bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, di sini.

Hazlan didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, Hazlan yang merupakan pengarah syarikat pelaburan haram (skim cepat kaya) Business Time Dina Sdn. Bhd. mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kota Baharu manakala dua lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0228&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...