Monday, October 20, 2008

Biskut ditarik balik - Larang serta-merta import bahan penaik China


PUTRAJAYA - Kerajaan semalam melarang serta-merta pengimportan bahan penaik ammonium bicarbonate dari China berikutan bahan itu didapati mempunyai tahap melamin melebihi piawaian yang dibenarkan.

Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai berkata, bahan penaik itu yang diimport dari negara-negara lain pula diletakkan di bawah pemeriksaan rapi sebelum dibenar masuk ke pasaran tempatan.

Beliau berkata, tindakan itu diambil apabila analisis yang dilakukan terhadap sampel produk dua kilang biskut tempatan, Khong Guan di Johor dan Khian Guan di Pulau Pinang mendapati 18 daripada 47 sampel biskut yang dianalisis melebihi tahap melamin yang dibenarkan iaitu 2.5 mg/kg atau 2.5 ppm.

"Hasil analisis menunjukkan hanya agen penaik ammonium bicarbonate mengandungi paras melamin yang tinggi iaitu 33.4 ppm bagi kilang biskut jenama Khong Guan dan 508 ppm bagi kilang biskut jenama Khian Guan, dan sumber ammonium bicarbonate bagi kedua-dua kilang biskut itu adalah dari China,'' katanya kepada pemberita di sini semalam.

Serentak itu, Liow berkata kementerian telah mengarahkan 12 biskut jenama Khong Guan iaitu Biskut Soda, Biskut Lemon Puff, Biskut Lemon Pof, Biskut Butter Cream, Biskut Baby Fish, Biskut Healthy Cracker, Biskut Cocoa Puff, Biskut Sandwich Oren, Biskut Family Crackers, Biskut Bentuk Binatang, Biskut Gulung dan Biskut Mini Puff ditarik balik dari pasaran.

Enam biskut keluaran Khian Guan iaitu Biskut Creamy Chocolate, Biskut Lemon Puff, Biskut Square Puff, Biskut Cocoa Puff, Biskut Jagung Puff dan Biskut Campuran (Party) turut menghadapi tindakan yang sama, dan kementerian akan memantau dan memusnahkan mana-mana biskut itu jika masih berada di pasaran, katanya.

"Kami juga meminta mereka (Khong Guan dan Khian Guan) untuk menarik balik produk lain secara sukarela sehingga ia mendapat kebenaran dari kementerian, dan mereka memberi kerjasama yang baik,'' katanya.

Mengenai laporan CBC News kelmarin bahawa 'Julie's Crackers' yang diimport dari Malaysia mengandungi melamin berlebihan dan telah ditarik balik dari pasaran Taiwan, beliau menjelaskan, kementerian sedang menyiasat perkara itu. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/17102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...