Monday, October 20, 2008

Syarikat susu beracun dibubar


BEIJING - Kerajaan China semalam mengarahkan lima syarikat tenusu terbesar negara berkenaan berbincang berhubung nasib syarikat Sanlu Group Co. yang terlibat dalam skandal susu tercemar.

Produk susu dicemari bahan kimia melamin membabitkan syarikat berkenaan mengakibatkan lima bayi meninggal dunia dan beribu-ribu lagi kanak-kanak jatuh sakit.

Sebuah akhbar melaporkan bahawa kelima-lima syarikat berkenaan dipanggil ke Beijing bagi berbincang kemungkinan penjualan Sanlu dan aset-asetnya.

Kerajaan kini cuba memulihkan semula industri tenusu selepas melamin dikesan pada sejumlah produk berasaskan susu yang dihasilkan dari negara berkenaan.

Sanlu yang majoriti sahamnya dimiliki oleh kerajaan kini hampir tidak beroperasi selepas kebanyakan produknya tercemar dengan melamin.

Kerajaan mahu keseluruhan syarikat itu dibeli oleh para pesaing tetapi sebilangan pihak hanya berminat untuk membeli beberapa aset.

Beberapa pesaing enggan membeli keseluruhan syarikat itu bagi mengelakkan terdedah kepada liabilitinya seperti kemungkinan tindakan saman atau tuntutan ganti rugi daripada pengguna. - AP

http://www.kosmo.com.my/18102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...