Monday, October 20, 2008

PM China akui kesilapan kerajaan


BEIJING - Perdana Menteri China, Wen Jiabao (gambar) mengakui kerajaannya turut bersalah dalam skandal susu tercemar yang menyebabkan beribu-ribu bayi sakit.
Dalam satu temu bual majalah Science Magazine yang diterbitkan semalam, Wen berasa sangat kesal terhadap pencemaran tersebut.

"Walaupun masalah itu dilakukan syarikat, kerajaan juga bertanggungjawab. Makanan, semua jenis makanan perlu mengikut piawaian antarabangsa," katanya.

Dalam satu laporan akhbar People's Daily, Wen berkata, kerajaan kurang memberi tumpuan terhadap penyeliaan dan pengurusan.

Pengakuan Wen itu merupakan sesuatu yang jarang berlaku tetapi kepimpinan beliau disukai rakyat China kerana sikapnya yang suka melawat rakyat miskin dan mangsa bencana.

Krisis susu formula China dicemari bahan kimia melamin disedari sebelum Sukan Olimpik Ogos lalu namun ia tidak dilaporkan kerana bimbang menjejaskan reputasi kerajaan.

Melamin dicampur pembekal susu kepada syarikat pengeluar untuk menipu ujian kandungan protein setelah mereka mencairkan susu berkenaan.

Bahan kimia melamin sering diguna dalam proses pembuatan plastik, baja, cat dan pelekat.

Dalam usaha untuk mengembalikan keyakinan rakyat, kerajaan China mengarahkan piawaian ketat dan mengerah lebih 5,000 inspektor untuk mengawal industri susu negara itu. - AP

http://www.kosmo.com.my/19102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...