Monday, October 20, 2008

'Saya tidak percaya mereka bernikah'

Oleh AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


--------------------------------------------------------------------------------

IPOH - "Walaupun mereka (Noor Fadilah Ahmad, 18, dan Nasrudin Dahrom, 24) dilaporkan sudah berkahwin, naluri saya sebagai bapa, tetap enggan percaya.

"Apa pun saya tidak akan mengalah dan tidak akan merestui sebarang usaha anak saya dan Nasrudin untuk 'bersatu' serta masih mahu berdepan dengan mereka."

Demikian reaksi Ahmad Abdul Hamid, 46, (gambar) setelah dikhabarkan Nasrudin mendakwa dia sudah mengahwini Noor Fadilah beberapa hari lalu atas alasan takut terlanjur.

Kosmo! semalam melaporkan Nasrudin akhirnya bernikah dengan Noor Fadilah melalui bantuan seorang 'ustaz' di Lombok, Indonesia tiga hari lalu walaupun tidak mendapat kelulusan kementerian agama republik berkenaan.

Sebelum ini Noor Fadilah yang berasal dari Ladang Sungai Gedong, Bagan Serai didakwa oleh ayahnya Ahmad telah dilarikan Nasrudin pada awal September lalu.

Ahmad berkata, sehingga kini beliau belum mendapat sebarang maklumat tentang perkahwinan itu daripada mulut anak sulungnya dan Nasrudin mahupun pihak Kedutaan Malaysia di Indonesia yang turut serta dalam misi untuk membawa pulang Noor Fadilah ke pangkuan keluarga.

Katanya, beliau kini telah bersiap sedia untuk ke Indonesia untuk menemui anaknya dan hanya menunggu 'lampu hijau' daripada Pengerusi Sekretariat Pengaduan Awam dan Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO, Datuk Azeez Abdul Rahim sahaja.

"Setelah mengetahui berita ini, hati isteri saya (Masitah Abdullah, 42) remuk dan kecewa. Namun saya nasihatkan beliau agar banyak bersabar dan berjanji akan membawa pulang Kak Yong kembali ke pangkuan kami demi maruah keluarga," katanya.

http://www.kosmo.com.my/16102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...