Monday, October 20, 2008

Korea Selatan umum pelan penyelamat kewangan


SINGAPURA - Korea Selatan menyertai usaha pemimpin-pemimpin dunia mengukuhkan sektor perbankan dan pasaran yang terjejas teruk akibat krisis ekonomi disifatkan terbesar sejak Zaman Kemelesetan Ekonomi pada 1930-an.

Negara itu semalam berjanji menyediakan AS$130 bilion (RM459.8 bilion) dalam bentuk jaminan kerajaan dan suntikan modal beberapa jam selepas beberapa pemimpin Amerika Syarikat (AS) dan Eropah bersetuju mengadakan siri sidang kemuncak ke arah satu pelan tindakan global bagi menangani krisis tersebut. Presiden AS, George W. Bush kelmarin berkata, beliau akan mempengerusikan sidang kemuncak itu yang dijangka diadakan tidak lama selepas pilihan raya Presiden 4 November depan.

Satu kenyataan bersama selepas pertemuan Bush dengan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy dan Presiden Suruhanjaya Eropah, Jose Manuel Barroso di Camp David, AS menjelaskan sidang kemuncak itu akan memberi tumpuan kepada prinsip-prinsip reformasi yang diperlukan bagi memulihkan sistem kewangan global.

"Sidang-sidang kemuncak selepas itu akan dirangka bagi memperoleh persetujuan melaksanakan langkah-langkah spesifik bagi tujuan tersebut," kata kenyataan itu. - Reuters

http://www.kosmo.com.my/20102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...