Tuesday, November 25, 2008

AS lulus pelan selamatkan Citigroup

WASHINGTON - Kerajaan Amerika Syarikat (AS) semalam mengumumkan ia akan menyuntik tambahan AS$20 bilion (RM72 bilion) bagi memastikan gergasi perbankan Citigroup daripada muflis.

Citigroup sebelum ini mengumumkan ia terpaksa memberhentikan 53,000 pekerja kerana krisis ekonomi di negara tersebut.

Pakej AS$20 bilion (RM72 bilion) itu merupakan tambahan kepada AS$25 bilion (RM90 bilion) yang sebelum ini telah disuntik ke dalam kumpulan itu pada awal tahun ini.

Kebimbangan mula memuncak terhadap nasib syarikat berusia 196 tahun itu setelah Citigroup pada minggu lalu mendedahkan bahawa ia semakin tenat manakala sahamnya diniaga di bawah AS$4 sesaham (RM14.44) .

Langkah itu diumumkan lewat kelmarin oleh Jabatan Perbendaharaan, Simpanan Persekutuan dan Federal Deposit Insurance Corp.

Pelan itu bertujuan membantu Citigroup kerana bimbang sekiranya institusi kewangan gergasi tersebut runtuh maka ia mungkin mencetuskan sistem kewangan dunia dan ekonomi AS huru-hara.

Langkah itu juga meningkatkan pasaran saham di Wall Street dan juga pasaran saham di Britain serta Jerman yang meningkat lebih empat peratus.

"Sekiranya kerajaan tidak membantu keadaan mungkin menjadi lebih teruk lagi," kata seorang pakar ekonomi United Overseas Bank di Singapura, Teck-Kin Suan. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1125&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...