Tuesday, November 25, 2008

Isu haram yoga, fatwa jangan kaku - Dr asri


Selasa November 25, 2008

KUALA LUMPUR Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin hari ini mula menegur Majlis Fatwa Kebangsaan tentang isu pengharaman 'yoga' yang diumumkan baru-baru ini.


Walaupun pada dasarnya, beliau bersetuju ada unsur agama lain dalam yoga, pergerakan senaman itu tidak seperti air yang sudah tercemar yang sukar untuk dipisahkan.


"Majlis Fatwa jangan hanya mengharamkan saja tapi berilah alternatif. Banyak lagi amalan-amalan sukan yang diambil dari budaya lain seperti tai chi, judo, taekwando. Semua sukan ini bukan asal usul Islam tetapi diamalkan kerana ianya baik untuk kesihatan," jelas Dr Asri dalam satu temubual telefon sebentar tadi.


Dr Asri difahamkan tidak hadir dalam mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan berkenaan kerana dikatakan kurang selesa dengan sikap diskriminasi JAKIM kepadanya dan kenyataan Pengarah JAKIM yang tidak berapa senang dengan pandangan alternatif beliau.


Pun begitu, ini tidak menghalang beliau untuk memberi satu lagi pandangan tentang fatwa 'yoga'.


"Pengamal-pengamal yoga yang beragama Islam sepatutnya diberi alternatif dengan diberi satu versi amalan yoga yang terpisah dengan pergerakan yang terlalu jelas menyamai agama lain, bacaan-bacaan yang bertentangan dengan agama Islam dan kepercayaan karut. Versi yoga yang disyorkan ini seharusnya mengekalkan pergerakan yang baik untuk kesihatan.


"Tanggalkan yang bertentangan sahaja, samada pergerakan, bacaan atau kepercayaan. Kekalkan pergerakan yoga yang baik untuk kesihatan,"
jelas Dr Asri.


Kata Dr Asri lagi, Majlis Fatwa Kebangsaan sepatutnya tidak terlalu kaku.


"Fatwa yang dikeluarkan pada zaman sekarang hendaknya jangan terlalu kaku. Berilah alternatif yang memisahkan amalan yoga yang mengandungi unsur agama dengan amalan yoga untuk kebaikan kesihatan. Sekiranya ada kelebihan dari segi kesihatan dan ianya memanfaatkan, itu boleh dikekalkan.


"Pergerakan manusia itu tidak semestinya berkaitan dengan agama. Sama seperti amalan judo, misalnya. Apa yang tidak sesuai, dihapuskan saja dan diambil manfaatnya. Kita kekalkan pergerakan yang meafaatkan badan,"
jelas Dr Asri.


Beliau juga berharap Majlis Fatwa memberi ruang untuk umat Islam melihat alternatif.


Sabtu lepas, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Pengerusi, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin mengumumkan Majlis Muzakarah Kebangsaan (yang bersidang pada 22 hingga 24 Oktober di Kota Bharu) bersetuju memutuskan bahawa apa jua bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut adalah dilarang kerana bertentangan dengan Islam.


Umat Islam negara ini diminta tidak mengamalkan senaman yoga yang didapati mengandungi unsur-unsur keagamaan, mentera dan pemujaan.


Tambah beliau, amalan fizikal senaman yoga tanpa unsur-unsur tersebut pada zahirnya tidaklah menjadi kesalahan.


Namun, beliau menasihati umat Islam agar meninggalkan amalan tersebut kerana dikhuatiri akan menghakis akidah mereka.


“Tiga perkara yang boleh menghakis akidah umat Islam adalah kepercayaan di hati, menerusi perkataan dan perbuatan.


“Memandangkan terdapat elemen tersebut dalam amalan yoga, maka umat Islam wajib memelihara akidah mereka daripada terhakis. Saya nasihatkan mereka tinggalkannya (yoga) dan pilih senaman lain seperti berbasikal,solat, zikir dan sebagainya,”
kata beliau pada sidang media hari itu.


Selain Malaysia, amalan yoga telahpun diharamkan di Singapura dan Mesir, katanya.


Abdul Shukor berkata, pada peringkat ini, program kesedaran mengenai amalan itu akan diperluaskan ke seluruh negara melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).


Jelasnya, pelaksanaan dari dari sudut undang-undang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.


“Kuasa perlaksanaan dari sudut undang-undang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Setelah ia diwartakan barulah kita boleh tahu apa tindakan yang boleh dikenakan ke atas mereka yang masih mengamalkannya,” katanya.


Awal bulan lalu pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Zakaria Stapa menasihati orang Islam yang mengamalkan senaman yoga supaya menghentikannya kerana bimbang boleh memesongkan akidah.


Menurut Zakaria, yoga yang berasal daripada masyarakat Hindu, menggabungkan unsur keagamaan dan penyembuhan jiwa.


"Mereka mengamalkan yoga kerana percaya boleh menyatukan mereka dengan Tuhan," katanya.


Yoga adalah amalan kesihatan yang diperkenalkan sekitar 3,300 sebelum Masihi, dikatakan dapat membantu melambatkan proses penuaan, mengurangkan risiko diabetes, darah tinggi, lelah dan penyakit berkaitan jantung.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/25/mstar_berita/20081125123603&sec=mstar_berita

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...