Oleh Mohamad Hussin
mohamad@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Majlis Ekonomi Negara akan bermesyuarat Isnin depan untuk memutuskan satu mekanisme lebih stabil dan boleh dilaksanakan dalam menentukan harga petrol, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad.
Beliau berkata, mesyuarat Majlis Ekonomi Negara itu memutuskan sama ada akan mengguna pakai sistem apungan mengikut harga pasaran dunia atau menetapkan harga lantai.
“Kita kena buat perbincangan pasal kebaikan dan kelemahan harga lantai.
“Ini satu keadaan yang tak pernah kita jangka, harga minyak mentah turun begitu hebat. Kita akan berbincang mengenai apa hala tuju yang akan diambil.
“Adakah kita nak satu kaedah harga lantai atau terus dengan keadaan sekarang, yang mana bila turun, kita turun...apa pun bergantung kepada keputusan Majlis Ekonomi Negara pada 1 Disember ini.
“Kalau letak harga lantai, apakah parasnya, serendah mana atau guna sistem pengapungan secara terurus,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Ketua Jabatan Harta Intelek Asean kali kelima 2008 di sini, semalam.
Beliau berkata, Majlis Ekonomi Negara akan mengkaji kebaikan dan keburukan setiap mekanisme itu dalam aspek yang memanfaatkan bagi keseluruhan, sumbangan kepada semua secara keseluruhan, sumbangan kepada sumber kewangan negara dan mengenai impak membangunkan sumber tenaga alternatif.
“Pada harga sekarang, kerajaan ada sumber kewangan. Kalau kita adakan harga lantai dan harga minyak turun, perbezaannya akan masuk ke dana kerajaan, bukan syarikat minyak, bukan stesen minyak.
“Sebagai contoh jika kita tetapkan harga lantai petrol pada RM1.90, apabila harga pasaran dunia turun RM1.60, maka 30 sen akan dimasukkan ke dana kerajaan, bukan syarikat minyak atau stesen minyak.
“Jadi kerajaan akan mempunyai sumber pendapatan sekiranya kita adakan harga lantai,” katanya.
Sementara itu, Shahrir berkata, kerajaan akan membentangkan Akta Amalan Perdagangan Adil di Parlimen pada Jun depan bagi membolehkan tindakan dikenakan kepada peniaga yang sengaja ‘menindas' peniaga lain dengan menimbulkan suasana persaingan tidak adil.
“Kajian mengenai akta berkenaan sudah hampir selesai dan dijangka dibentangkan Jun tahun depan bersama akta penubuhan suruhanjaya bebas bagi tujuan penguatkuasaan bagi menjalankan pemantauan dan penyiasatan terhadap aduan yang diterima,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20081125090628/Article/index_html
No comments:
Post a Comment