Tuesday, November 25, 2008

JAIP tarik balik kenyataan yoga haram


SALAH satu teknik senaman yoga yang perlukan tumpuan pemikiran dan penafasan. - Gambar hiasan


IPOH - Pengarah Jabatan Agama Islam Perak Datuk Jamry Sury semalam berkata, fatwa mengenai pengharaman senaman yoga untuk umat Islam belum dapat diterima pakai di negeri itu sebelum ia diperkenankan oleh Sultan Perak.

Bercakap kepada Bernama, bagi menarik balik kenyataannya kepada sebuah akhbar semalam bahawa Perak akan menerima pakai keputusan yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan itu, beliau berkata selaku Pengarah JAIP, adalah di luar bidang kuasa dan budi bicara beliau untuk membuat apa-apa pendirian berhubung sesuatu perkara yang menyentuh soal berkaitan agama Islam yang terletak di bawah bidang kuasa Sultan Perak.

"Fatwa tersebut belum dapat diterima pakai di negeri Perak kerana ia belum dibincangkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dan dimaklumkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak untuk selanjutnya mendapat perkenan daripada Sultan Perak," katanya.

Sebuah akhbar kelmarin menyiarkan kenyataan Jamry bahawa Perak akan mematuhi ketetapan yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan tersebut.

Jamry, yang juga Setiausaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, dilaporkan berkata satu mesyuarat akan diadakan pada 9 Disember ini bagi mengumumkan secara rasmi mengenai perkara berkenaan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1125&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...