Tuesday, November 25, 2008

Tiada cadangan turunkan kadar sewa lori


PUTRAJAYA: Persatuan Pengusaha Lori Tangki Bumiputera Malaysia tidak bercadang menurunkan kadar sewa lori walaupun harga runcit petrol dan diesel diturunkan sebanyak 15 sen seliter, baru-baru ini.

Pengerusinya Nazri Mohamad berkata, pihaknya tidak bercadang menurunkan kadar sewa lori dalam tempoh enam bulan ini berikutan kos buruh dan pelbagai jenis peralatan seperti tayar dan alat ganti yang semakin tinggi.

“Selepas enam bulan ini, jika kos turun, memang boleh kadar sewa diturunkan tetapi tayar akan naik harga dan hanya bateri yang sudah turun harga,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di sini, semalam.

Mesyuarat yang dipengerusikan menteri berkenaan Datuk Shahrir Abdul Samad berlangsung selama kira-kira dua jam.

Isnin lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan harga minyak petrol RON97 turun daripada RM2.15 kepada RM2 seliter manakala RON92 dan diesel masing-masing daripada RM2.05 kepada RM1.90 seliter.

Ia penurunan kali kelima harga bahan api itu selepas mengalami kenaikan tertinggi pada Jun lalu apabila kerajaan menaikkan harga runcit petrol kepada RM2.70 seliter dan diesel kepada RM2.58 seliter ketika harga minyak mentah dunia meningkat sekitar AS$125 setong.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20081125091515/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...