Tuesday, November 25, 2008

Sanggup tinggal `bersama suami’


REDA...Salwanis menunjukkan gambar arwah anaknya, Bilal
dan laporan polis terhadap suaminya, Nasir yang
akan ditarik balik.


SERDANG: “Saya anggap segala yang berlaku sebagai ketentuan Ilahi dan apa yang perlu dilakukan ketika ini ialah memulihkan hubungan dengan suami.

“Malah, saya sanggup mengikut suami ke mana saja termasuk bermastautin di luar negara jika itu difikirkan terbaik,” kata Salwanis Ma’az, 31.

Dia ditemui di pasar mini di sini, yang dimiliki bersama suaminya seorang warganegara Pakistan, Nasir Mahmood Qadri Nisar Ahmed, 39, selepas laporan kematian anaknya akibat pendarahan otak kerana satu insiden di Bahrain.

Pada Ogos lalu, muka depan Harian Metro melaporkan Nasir membawa lari anak mereka Muhammad Bilal ke luar negara dipercayai ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menceritakan semula berkenaan kematian Bilal, wanita dari Bayan Lepas, Pulau Pinang itu berkata, dia mengetahui berlaku jenayah terhadap Nasir dan anaknya selepas saling bertukar e-mel dengan suaminya itu.

Ketika itu Salwanis di kafe siber berhampiran pasar mininya sementara ibunya, Patahiyah Saari, 59, menjaga perniagaan, apabila terpaksa menelan kenyataan Bilal sudah meninggal dunia sejak 15 Ogos iaitu kira-kira dua minggu selepas suami dan anaknya keluar dari Malaysia.

Ketika mendukung Bilal, Nasir memberitahu dalam e-mel dia diserang seorang lelaki yang memukulnya dari belakang ketika berdiri di tepi jalan di satu bandar di Bahrain.

Pukulan tanpa diketahui sebabnya itu menyebabkan Bilal terlepas dan jatuh ke atas jalan raya sebelum lelaki terbabit melarikan diri dengan sebuah kenderaan.

Sejurus kemudian Nasir membawa Bilal yang darahnya mengalir tidak putus-putus keluar dari hidung ke sebuah pusat rawatan.

Bagaimanapun Bilal terpaksa dipindahkan ke Hospital Salmaniah selepas didapati kecederaannya serius kerana pendarahan dalam otak akibat terhentak atas jalan.

Lima hari selepas dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu, doktor mengesahkan Bilal sudah meninggal dunia.

Nasir turut menghantar dokumen kematian dan sijil pengebumian Bilal serta gambar bayi itu sejurus dimandikan di bilik mayat Hospital Salmaniyah. Dokumen pengesahan daripada Kementerian Kesihatan Bahrain serta Wisma Putra turut memastikan Bilal sudah tiada.


http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20081125095056/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...