Tuesday, November 25, 2008

Dipukau jadi penjamin along

KUALA LUMPUR: Licik apabila seorang wanita dikesan sengaja memberikan mangsanya minuman dipercayai air pukau bertujuan membuat mangsa menjadi bodoh dan hilang ingatan sebelum diperdaya dan diarah menjadi penjamin pinjaman ceti haram atau along tanpa disedari mangsa.

Dalam kes terbaru, seorang gadis berusia 23 tahun mendakwa menjadi mangsa tindakan licik wanita berkenaan yang memukaunya sebelum menjadikan mangsa penjamin untuk membuat pinjaman dengan along.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Aina berkata, tindakan di luar kesedarannya itu menyebabkan dia kini menjadi buruan along gara-gara dijadikan penjamin oleh wanita yang juga teman serumahnya.

Menurutnya, dua along terbabit tidak hanya menghubunginya untuk pinjaman itu dijelaskan, malah mengugut untuk merogolnya.


“Saya benar-benar buntu kerana tidak dapat mengingati apa yang berlaku dan bila tarikh sebenar pinjaman itu dilakukan.

“Apa yang terlintas hanyalah kata-kata pujukan rakan serumah saya dikenali sebagai Kak Yah sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, wanita berusia 30-an itu yang bekerja kilang di Shah Alam berpindah ke rumah sewanya sekitar September lalu.

“Berikutan masa bekerja kami yang mengikut jadual berlainan, saya dan Kak Yah tidak begitu mesra dan hanya sekadar bertegur sapa ketika pulang atau keluar untuk bekerja.

“Apa yang saya tahu Kak Yah ini berasal dari Kelantan dan menyewa salah satu bilik di rumah yang kami sewa di Seksyen 20 Shah Alam,” katanya.

Aina berkata, derita dialaminya bermula apabila Kak Yah tiba-tiba menegurnya pada hari Ahad sebulan yang lalu ketika bersendirian di rumah.

“Saya yang ketika itu bercuti berehat di ruang tamu rumah sambil menonton televisyen terkejut apabila dihulurkan segelas air oleh Kak Yah.

“Tanpa mengesyaki apa-apa saya lantas meneguk air berkenaan yang mempunyai rasa aneh seakan-akan air sarsi bercampur soda,” katanya.

Menurutnya, teman serumahnya itu kemudian duduk di sebelahnya sambil memberitahu menghadapi masalah kewangan berikutan ibunya sakit tenat di kampung.

“Dia kemudian memberitahu ingin berjumpa rakannya untuk meminjam wang sambil mengajak saya menemaninya.

“Saya yang seolah-olah dipukau terus bersetuju mengikutnya menaiki motosikal untuk berjumpa seorang lelaki berusia 30-an di sebuah restoran,” katanya.

Menurutnya, dia seperti orang bodoh apabila mengikut apa sahaja kata-kata Kak Yah yang meminta MyKad dan buku akaun bank miliknya diserahkan kepada along.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20081125091313/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...