Thursday, November 27, 2008

Buatlah slogan positif

Orang ramai sering disogokkan bahawa penghidap positif HIV seorang yang kusut-masai, kurus-kering dan tidak terurus. Sedangkan, itu semua tidak benar.



PENGHIDAP HIV memerlukan sokongan dan pemahaman masyarakat.

--------------------------------------------------------------------------------

RATA-RATA rakyat Malaysia adalah masyarakat penyayang. Apabila berlaku sesuatu bencana, ramai yang akan tampil menghulurkan bantuan.

Namun, apabila berhadapan dengan isu HIV (Human Immunodeficiency Virus) dan AIDS (Acquired Immune Syndrome) atau Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit, kemungkinan besar ramai yang akan mengambil sikap berbeza. Antaranya, menjauhkan diri apabila mengetahui seseorang itu mempunyai virus atau penyakit itu.

Sebahagian besar penyebabnya ialah mereka takut dijangkiti. Kebimbangan inilah yang mencetuskan diskriminasi dan stigma berterusan dan menyebabkan mereka yang positif HIV terus tersisih.

Lebih malang lagi apabila berlaku pemulauan, bukan oleh masyarakat, tetapi kaum keluarga sendiri.

Takut kerana jahil

Bagi Indra Kumari Nadchatram, diskriminasi dan pemulauan berlaku kerana kejahilan dan kurang maklumat.

Beliau yang berkhidmat sebagai pegawai komunikasi Malaysia dengan Tabung Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) sebelum ini berurusan selama 10 tahun dengan orang yang positif HIV dan AIDS ketika bersama Yayasan AIDS Malaysia (MAF).

"Ada yang masih tidak tahu cara jangkitan HIV kerana itu mereka bimbang untuk mendampingi orang yang positif HIV. Mereka benar-benar takut," katanya.

Untuk itu, kata Indra, maklumat yang tepat dan lengkap mengenai HIV/AIDS perlu disampaikan kepada masyarakat termasuk golongan muda.

Berdasarkan laporan UN AIDS yang dikeluarkan Ogos lepas, daripada statistik jangkitan baru HIV di peringkat global, 45 peratus ialah mereka yang berusia antara 15 hingga 24 tahun.

"Di Malaysia, satu pertiga kes jangkitan HIV melibatkan mereka yang berusia antara 13 hingga 29 tahun. Ini membimbangkan. Kita perlu mendidik golongan muda supaya mereka boleh membuat pilihan yang tepat.

"Daripada pengalaman kita sendiri di seluruh dunia, pendidikan adalah yang terbaik. Mesej utama ialah jangan libatkan diri dengan perilaku yang berisiko. Sebagai anak muda, keutamaan mereka ialah berusaha untuk masa depan mereka, karier mereka serta belajar tentang orang di sekeliling mereka,"
kata Indra.

Indra juga sudah berhadapan dengan banyak kes yang menyedihkan khususnya membabitkan orang yang hidup dengan HIV (OHH) yang berputus asa akibat diskriminasi, stigma dan pemulauan masyarakat dan keluarga.

Katanya tiada sokongan dan stigma boleh mendorong OHH menjadi putus asa untuk meneruskan kehidupan.

"Macam mana hendak hidup lagi sekiranya tak dapat menceritakan masalah yang dihadapi.

"Nak pergi jumpa doktor, takut orang akan dapat tahu dia positif HIV, takut nak beritahu kawan-kawan, nanti hilang pekerjaan. Semuanya ini membuatkan orang ini hidup dalam serba ketakutan. Dia menjadi lebih sakit sedangkan dengan rawatan yang teratur, HIV boleh dirawat dan menjadikan kehidupan orang ini lebih berkualiti,"
kata Indra kepada Bernama dalam satu wawancara selepas bengkel media mengenai Kanak-Kanak dan HIV dan Aids anjuran Salt Media Consultancy Sdn Bhd di sini, baru-baru ini.

Indra berkongsi beberapa kes untuk dijadikan teladan. Antaranya membabitkan pasangan suami isteri Zaki dan Ina (bukan nama sebenar). Kedua-duanya positif HIV.

Ina mendapat HIV daripada Zaki, pengguna dadah. Kedua-duanya dibenci dan dipulau keluarga masing-masing. Keluarga Zaki menyalahkan Ina dan keluarga Ina menyalahkan Zaki.


INDRA KUMARI

--------------------------------------------------------------------------------

Suami isteri ini akhirnya berpisah dan kembali kepada keluarga masing-masing sehinggalah kedua-duanya menghembuskan nafas yang terakhir.

Kisah tragik Zaki dan Ina berbeza dengan senario cerita Zack (bukan nama sebenar).

"Apabila doktor memberitahu ibu Zack yang dia tidak boleh berkongsi apa juga yang digunakan oleh Zack termasuk pinggan makan, ibunya memberitahu yang dia tak kisah. Itulah kasih sayang seorang ibu," kata Indra.

Zack, berjaya hidup selama lebih 18 tahun selepas didiagnosis mengidap HIV..

Yayasan PT atau sebelum ini dikenali sebagai Pink Triangle adalah badan sukarelawan yang diasaskan pada 1987 untuk memberi kaunseling mengenai HIV dan Aids. Aktivitinya telah berkembang, antaranya program Hidup positif, pendidikan mengenai HIV dan AIDS di samping program penjagaan dan sokongan.

Perlu kesedaran

Sukarelawan The Buddies Society of Ipoh, Afizah Bani Hashim turut berkongsi pengalaman mengendalikan kes-kes OHH. Badan amal yang disertainya ini mempunyai 200 pelanggan sekitar Perak. Lebih 50 peratus adalah perempuan.

Afizah sendiri mempunyai 20 pelanggan, kebanyakannya ibu tunggal yang dijangkiti HIV. Anak-anak mereka ada yang positif dan ada yang tidak.


AFIZAH BANI HASHIM

--------------------------------------------------------------------------------

Takut dipulau, katanya, menyebabkan ramai yang tidak mahu mendedahkan status mereka bukan sahaja kepada jiran tetapi juga keluarga sendiri.

Afizah berkongsi beberapa kes diskriminasi yang berlaku kepada OHH yang diuruskannya.

"Pernah saya perlu membawa seorang perempuan ke hospital. Di samping positif HIV, dia juga menghidap kanser. Tiada jiran hendak bantu papah dia ke kereta saya. Saya terpaksa mengangkatnya sendirian. Mereka takut nak pegang dia," kata Afizah.

Pihak kerajaan dan media, katanya mempunyai peranan penting untuk mendidik masyarakat umum.

"Kalau tengok drama yang memaparkan OHH yang kusut-masai, kurus-kering, tak terurus, ini semua karut. Kami ada pelanggan yang 15 tahun, 16 tahun hidup dengan HIV, tidak ada ambil ubat tetapi sihat.

"Jadi apa yang digambarkan tak betul. Paparan inilah yang mempengaruhi minda masyarakat, menyebabkan masyarakat memandang hina kepada OHH. Juga kata-kata, AIDS itu pembunuh atau HIV itu ancaman, slogan ini juga tidak patut digunakan. Ini akan membuatkan orang merasa takut, buatlah slogan yang positif," kata Sukarelawan Yayasan PT yang hanya mahu dikenali sebagai Mitch.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1126&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...