Thursday, November 27, 2008

Cabaran perfileman Bollywood - Krisis kewangan dunia memaksa penerbit lebih kreatif mengawal kos


SEKUMPULAN peminat filem sanggup beratur di dalam hujan untuk membeli tiket di luar sebuah pawagam di Mumbai pada Ogos 2005.

--------------------------------------------------------------------------------

DUNIA perfileman Bollywood dianggap antara termaju di dunia tetapi industri yang berpangkalan di Mumbai, India itu berdepan fasa mencabar akibat krisis kewangan global.

Krisis tersebut menyebabkan syarikat-syarikat penerbitan Bollywood terpaksa mengambil keputusan drastik demi untuk terus bersaing dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar.

Kebanyakan syarikat penerbitan mengambil keputusan untuk bergabung, mengurangkan bajet pemasaran dan menilai semula pakej bayaran kepada pelakon.

Ketua Eksekutif UTV Motion Pictures, Siddharth Roy Kapur memberitahu, jumlah filem yang dihasilkan dan dipasarkan akan berkurangan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Kapur berkata, syarikatnya membuat penilaian semula rancangan pelaburan untuk mengurangkan kos dan merancang untuk menggabungkan perniagaan siaran televisyennya.

"Seluruh kos akan diselaraskan. Kami perlu berjimat-cermat kerana mahu mencatatkan keuntungan dan para pelakon juga memahami perkara ini," ujarnya.

Industri perfileman Bollywood dianggap sebagai paling berkembang di dunia kerana menerbitkan sebanyak 1,000 filem setahun.

Bagaimanapun, margin keuntungan sangat kecil berikutan harga tiket yang murah, kos penerbitan dan pemasaran yang tinggi serta masalah cetak rompak.

"Kos melambung tinggi sejak beberapa tahun lalu dan kami mula menghadapi kekangan kewangan," kata Ketua Eksekutif Fox Star Studios, Vijay Singh.

Menurutnya, skrip dibeli dengan harga yang tinggi, pelakon terkenal pula menandatangani kontrak dengan bayaran berjuta-juta dolar, kos pemasaran semakin meningkat sekali gus menyebabkan kos penerbitan melambung tinggi.

"Kini, dengan keadaan ekonomi semasa yang lembap, keadaan itu memberi kesan kepada semua," ujarnya.


AKTOR Shah Rukh Khan dan Anushka Sharmamove menjalani penggambaran filem Rabb ne banai Jodi di Amritsar pada September lalu.

--------------------------------------------------------------------------------

Pengarah Urusan Percept Picture Co., Shailendra Singh berkata, syarikat itu mengambil keputusan untuk mengurangkan perbelanjaan dan memberi fokus kepada projek yang boleh memberi keuntungan tinggi.

"Kami kini tidak mampu untuk bereksperimen atau menghasilkan filem yang tidak menepati cita rasa penonton.

"Penonton kini semakin cerewet dengan setiap sen yang mereka belanjakan untuk hiburan.

"Sekiranya kami menghasilkan filem yang tidak bagus, penonton akan berfikir dua kali sebelum mengambil keputusan untuk membeli tiket,"
ujarnya.

Sejak beberapa tahun lalu, industri perfileman Bollywood juga sudah berubah daripada sejumlah syarikat penerbitan kecil kepada syarikat korporat yang lebih tersusun.

Kerancakan industri perfileman Bollywood juga menarik pelaburan dari syarikat-syarikat asing termasuk beberapa studio perfileman gergasi Hollywood.

Sebagai contoh, UTV Motion Pictures mempunyai beberapa perjanjian penerbitan termasuk bersama studio Walt Disney, Fox Searchlight dan Overbrook Entertainment milik aktor terkenal Hollywood, Will Smith.

Reliance Entertainment pada awal tahun ini menandatangani perjanjian dengan lapan syarikat penerbitan Hollywood termasuk yang dimiliki oleh aktor terkenal, George Clooney, Tom Hanks dan Brad Pitt.

Syarikat itu juga menjalinkan kerjasama dengan pengarah terkenal, Steven Spielberg untuk membangunkan satu studio bagi menghasilkan 30 hingga 35 filem.

Kini syarikat-syarikat tersebut menghadapi pilihan dana yang terhad berikutan keadaan ekonomi tidak menentu dan kesukaran memperoleh pinjaman bank kesan daripada krisis kewangan global.

Keadaan itu mungkin menyebabkan lebih banyak syarikat-syarikat penerbitan kecil di Bollywood mengambil keputusan untuk bergabung bagi menjimatkan kos.

"Semua pihak kini merasai tekanannya," kata seorang penganalisis hiburan, Smita Jha.

"Ia agak sukar untuk menukar pelan perniagaan dalam waktu yang singkat tetapi ini satu pemangkin bagi membuat satu keputusan yang berat,"
jelasnya.

- Reuters

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1126&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_11.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...