Thursday, November 27, 2008

Cubaan amah gagal

Oleh Nazdy Harun
am@hmetro.com.my


KUALA TERENGGANU: Cubaan seorang pembantu rumah warga Indonesia melarikan diri selepas mencuri wang tunai majikannya berjumlah RM10,000 dalam pelbagai mata wang gagal apabila pemandu teksi dinaikinya terus membawanya ke balai polis sebaik mendapat maklumat mengenai tindakan wanita itu, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa, seorang kontraktor berusia 48 tahun dari Kampung Kuala Ibai di sini, yang berada di pusat bandar raya kerana urusan kerja dikatakan menerima panggilan telefon daripada isterinya memaklumkan keadaan rumah mereka berselerak seperti dipecah masuk.

Berikutan itu, mangsa bergegas pulang dan ketika melakukan pemeriksaan mendapati wang tunai dalam pelbagai mata wang termasuk ringgit Malaysia, baht Thailand serta dolar Hong Kong dan Amerika Syarikat bernilai kira-kira RM10,000 yang disimpan dalam bilik tidur lesap.

Malah, pembantu rumah mangsa berusia 25 tahun turut hilang bersama beg pakaiannya menyebabkan lelaki berkenaan mengesyaki perbuatan itu dilakukan pembantu rumahnya sendiri sebelum bergegas ke perhentian bas dan teksi di pusat bandar raya untuk mengesan wanita berkenaan.


Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri (Siasatan/Perundangan), Superintendan K Manoharan, berkata usaha mangsa menjejaki pembantu rumahnya itu berhasil apabila pengusaha syarikat teksi memberitahu wanita itu menyewa sebuah teksi di hentian terbabit dan dalam perjalanan ke Kuantan, Pahang.

Menurutnya, sebaik dimaklumkan perkara sebenar, pengusaha teksi terbabit memaklumkan berita itu kepada pemandu teksi yang membawa wanita berkenaan lalu terus memandu kenderaannya ke balai polis di Kuantan sebelum menyerahkan suspek.

Katanya, wanita berkenaan ditahan kira-kira jam 7 malam dan hasil pemeriksaan awal polis menemui semula sebahagian wang yang cuba dilarikan dan polis masih meneruskan siasatan bagi mengesan sebahagian lagi wang yang belum ditemui.

“Mangsa selepas menyalurkan maklumat kepada pengusaha teksi berkenaan terus membuat aduan di Balai Polis Kuala Terengganu, jam 6.40 petang.

“Suspek berkenaan kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan sebelum diserahkan ke IPD Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.

Usaha dilakukan mangsa dengan kerjasama pengusaha dan pemandu teksi berkenaan dihargai kerana dapat menyelesaikan kes ini segera bagi mengelak wanita itu meloloskan diri ke negara asalnya,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20081126091900/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...