Thursday, November 27, 2008

Ekonomi global semakin parah

LONDON - Amerika Syarikat (AS) dan Eropah menyiapkan langkah-langkah baru semalam bagi menangani kegawatan ekonomi yang semakin buruk.

Maklumat terbaru menunjukkan ekonomi AS mengucup 0.5 peratus pada suku kewangan ketiga tahun ini manakala Washington mengumumkan pelan penyelamat sebanyak AS$800 bilion (RM2.8 trilion) bagi membantu sistem kewangan AS.

Kegawatan ekonomi dijangka bertambah buruk pada suku kewangan yang sama sehingga menyebabkan ekonomi terbesar di dunia itu terjerumus ke dalam kancah kemelesetan yang dikhuatiri berlarutan hingga tahun hadapan.

Para pengguna AS memotong perbelanjaan pada kadar tertinggi dalam tempoh 28 tahun, menurut laporan Jabatan Perdagangan AS ketika menggariskan bahawa aktiviti perniagaan menjadi amat perlahan.

Perkembangan terbaru prestasi ekonomi yang disiarkan kelmarin oleh Jabatan Kewangan tersebut merupakan satu lagi bukti jelas bahawa AS kini semakin terjejas akibat kemelesetan ekonomi.

China iaitu negara pengguna aneka logam terbesar di dunia pula mengumumkan pakej rangsangan ekonomi berjumlah AS$586 bilion (RM2.1 trilion) pada bulan ini namun pertumbuhan ekonomi negara itu pada tahun depan dijangka tetap perlahan iaitu pada kadar 7.5 peratus, kata Bank Dunia.

Kadar pertumbuhan tersebut merupakan yang paling perlahan di China sejak tahun 1990.

Dalam perkembangan berkaitan analisis rasmi mengesahkan Jerman kini dilanda kemelesetan ekonomi buat kali pertama dalam tempoh lima tahun.

Keadaan serupa turut berlaku di Itali dan Perancis sekali gus membayangkan negara-negara Kesatuan Eropah berada di ambang kemelesetan yang panjang.

- Reuters

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1126&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...