Thursday, November 27, 2008

Norzarifah dilapor selamat

Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my


RINDU...Noraini menunjukkan gambar anaknya, Norzarifah.


KUALA LUMPUR: Penuntut Malaysia di Curtin University of Technology di Perth, Australia, Norzarifah Kamarauzaman, 21, yang dilaporkan ‘lesap’ sebelum ini dikatakan sudah dapat dikesan di negara itu.

Berdasarkan maklumat, Kementerian Pengajian Tinggi mengetahui lokasi gadis itu yang ketika ini diberitahu sumber berada dalam keadaan selamat.

Timbalan Menterinya, Datuk Idris Haron ketika dihubungi Harian Metro semalam, berkata pihaknya ada menerima maklumat mengenai penemuan pelajar ijazah sarjana muda sains geologi itu.

Susulan itu, katanya, pihaknya bersedia ke Australia bersama Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda Umno untuk berjumpa dengan pelajar terbabit.


“Bagaimanapun, terpulang kepada tuan punya badan (Norzarifah) untuk kembali ke Malaysia atau sebaliknya,” katanya yang menyerahkan mengenai rancangan pemergian ke Australia itu kepada pengerusi sekretariat, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.


Ditanya apa bantuan yang boleh diberikan kementerian kepada Norzarifah berhubung pengajian yang terkandas di Australia, katanya, kementerian akan meneliti kes itu sebelum membuat keputusan sama ada memberi tempat kepada gadis itu di universiti tempatan.

Abdul Azeez ketika dihubungi pula berkata, urusan dokumentasi ibu bapa pelajar itu, Noraini Daud, 48, dan Kamarauzaman Nasir, 50, serta kakak sulung Nurzarifah iaitu Norzawani, 24, diatur sekretariat untuk membawa mereka ke Australia.

“Perkara itu akan diselesaikan secara kekeluargaan. Sekretariat dan rombongan Malaysia akan ke sana bersama keluarga pelajar terbabit sebaik saja dana dianggarkan RM25,000 mencukupi untuk perbelanjaan.

“Sekretariat masih berikhtiar untuk mencari dana itu,”
katanya.

Sementara itu Noraini, berkata kesedihannya tidak dapat dibendung apabila melawat dua rakan anaknya yang belajar di universiti sama.

Dua rakan Norzarifah yang juga bekas pelajar persediaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pulang ke tanah air minggu lalu.

Norzarifah sepatutnya dijadualkan pulang bersama rakannya itu sebaik tamat peperiksaan tahun akhir, bagaimanapun dia ‘lesap’ sejak Oktober lalu.

“Saya tidak lalu makan, badan pun semakin kurus mengenangkan nasib Ipah (panggilan manja Norzarifah). Lebih sedih apabila berkunjung ke rumah kawan anak dan melihat wajah mereka menyebabkan bayangan Ipah semakin menjelma.

“Ahad lalu saya hampir membeli tiket pergi ke Australia untuk mencari Ipah. Bagaimanapun, atas nasihat rakan dan suami supaya bersabar, saya membatalkan hasrat itu,”
katanya dalam nada sedu.

Sementara itu, Konsul Besar Malaysia di Perth, Hamidah Ashari yang dihubungi berkata, pihaknya menunggu kumpulan daripada Malaysia untuk membantu sedaya upaya.

Gadis terbabit kemudian dilaporkan hilang mengikuti dua lelaki warga Australia selepas keluar dari hospital itu dan ibu bapanya bimbang anaknya itu terpesong akidah.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20081126092628/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...